8 Aktiviti Kanak-Kanak Berusia 3-4 Tahun (Aktiviti #1 hingga #8)



Senarai Aktiviti

  1. Penubuhan Taska Masjid
  2. Penambahbaikan Pengurusan Taska Masjid
  3. Pensijilan Pengasuh Taska Masjid
  4. Pembekalan Bahan Asuhan Taska Masjid
  5. Pengurusan Kebajikan Kanak-Kanak Taska Masjid
  6. Penyeliaan Taska Masjid
  7. Pengurusan Pusat Sumber
  8. Pengurusan Taska Eksperimental

Lapan (8) aktiviti yang tersebut di atas adalah di bawah empat (4) program yang dipandukan oleh dua (2) strategi utama bagi kanak-kanak berusia 3–4 tahun, dibangunkan dengan tujuan untuk membantu masyarakat Islam menangani permasalahan akses, kualiti dan ekuiti dalam pengasuhan serta pendidikan awal kanak-kanak di kawasan-kawasan penduduk Islam yang masih memerlukan kemudahan sedemikian. Secara khusus program dan aktiviti ini diwujudkan untuk menggalakkan masyarakat Islam setempat terlibat secara aktif dalam usaha-usaha strategik untuk memperluas dan membanyakkan ruang dan peluang asuhan, bimbingan dan pembelajaran yang berkualiti di masjid-masjid. Rajah di bawah ini menggambarkan tentang program dan aktiviti tersebut sebagai usaha strategik untuk membentuk dan melahirkan kanak-kanak yang mesra masjid, beradab serta berkeyakinan untuk mengikuti didik dan pembelajaran di tadika.

Peranan utama BPP-MIS dalam konteks ini terbahagi kepada tiga (3) bidang berikut:

A. Khidmat Profesional

Membantu Ketua Masyarakat dan JKP Masjid dalam penubuhan serta pengurusan taska di masjid masing-masing, dan membantu JKP Masjid dalam hal berkaitan dengan latihan kepengasuhan bagi para pengasuh serta pewujudkan jaringan kerjasama yang saling menguntungkan dengan pihak atau agensi yang berkaitan.

B. Khidmat Sosial

Membantu Ketua Masyarakat dalam pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Islam setempat tentang pentingnya asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak dan perlunya penyertaan dan penglibatan aktif mereka dalam memastikan kanak-kanak mendapat asuhan dan didikan yang berkualiti secara berterusan.

C. Bantuan Dana

Membantu JKP Masjid dalam perolehan bahan-bahan asuhan dan pembelajaran atau perkhidmatan-perkhidmatan lain yang diperlukan untuk menjaga kebajikan sosial dan kesihatan kanak-kanak.

Aktiviti ini merupakah satu usaha Majlis Islam Sarawak untuk menambah peluang serta bilangan pusat asuhan dan didikan awal bagi kanak-kanak, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam di kawasan luar bandar yang sukar mendapat kemudahan atau khidmat asuhan daripada pihak orang perseorangan atau swasta.

BPP-MIS melalui aktiviti ini menggalak serta membantu JK Pengurusan Masjid untuk menubuhkan taska di masjid masing-masing. Dengan tertubuhnya taska di masjid, masyarakat setempat berkemampuan memenuhi sebahagian daripada keperluan asuhan kanak-kanak yang berada dalam lingkungan usia 3 – 4 tahun. Melalui aktiviti ini, BPP-MIS menyediakan khidmat nasihat profesional dan dana kepada JK Pengurusan Masjid bagi membantu serta memudahkan usaha mereka untuk memulakan pusat asuhan kanak-kanak di masjid masing-masing.

Secara khusus BPP-MIS berperanan membeeri bimbingan dan bantuan awal kepada JKP Masjid supaya mereka berkeyakinan kemudiannya mengendali dan mengurus taman asuhan untuk kanak-kanak di kawasan masing-masing. Sebagai panduan, BPP-MIS telah menetapkan prosedur penubuhan taska masjid boleh didapati di pautan berikut:

Panduan Penubuhan Taska Masjid

Aktiviti 01: Penubuhan Taska Masjid

Aktiviti ini merupakah satu usaha Majlis Islam Sarawak untuk menambah peluang serta bilangan pusat asuhan dan didikan awal bagi kanak-kanak, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam di kawasan luar bandar yang sukar mendapat kemudahan atau khidmat asuhan daripada pihak orang perseorangan atau swasta.

BPP-MIS melalui aktiviti ini menggalak serta membantu JK Pengurusan Masjid untuk menubuhkan taska di masjid masing-masing. Dengan tertubuhnya taska di masjid, masyarakat setempat berkemampuan memenuhi sebahagian daripada keperluan asuhan kanak-kanak yang berada dalam lingkungan usia 3 – 4 tahun. Melalui aktiviti ini, BPP-MIS menyediakan khidmat nasihat profesional dan dana kepada JK Pengurusan Masjid bagi membantu serta memudahkan usaha mereka untuk memulakan pusat asuhan kanak-kanak di masjid masing-masing.

Secara khusus BPP-MIS berperanan memberi bimbingan dan bantuan awal kepada JKP Masjid supaya mereka berkeyakinan kemudiannya mengendali dan mengurus taman asuhan untuk kanak-kanak di kawasan masing-masing.

Aktiviti 02; Penambahbaikan Pengurusan Taska Masjid

Aktiviti ini mempunyai dua tujuan utama, iaitu:

  • membantu JKP Masjid dalam membuat perancangan awal untuk membolehkan taman asuhan di masjid mereka dapat dijalankan dengan berkesan; dan
  • memberi sedikit dana kepada JKP Masjid untuk tujuan menambah saguhati yang boleh mereka berikan kepada para pengasuh di taska masing-masing.

Melalui sokongan profesional dan bantuan bulanan ini JKP Masjid akan dapat dipandu dan dibimbing untuk meningkatkan kesungguhan, rasa tanggungjawab dan komitmen mereka dalam memberi perkhidmatan asuhan yang berkualiti. Selain sokongan profesional berterusan ini akan dapat memantapkan lagi mutu pengurusan dan pentadbiran harian taska masing-masing selari dengan aspirasi dan dasar pendidikan awal kanak-kanak negara.

Aktiviti 03; Pensijilan Pengasuh Taska Masjid

Satu daripada langkah utama yang telah diambil oleh BPP-MIS untuk membantu JKP Masjid mendapat khidmat pengasauhan kanak-kanak yang berkualiti untuk ditempatkan di taska masjid masing-masing adalah melalui bantuan latihan bagi pengasuh yang telah dikenalpasti dan dilantik daripada kalangan anak-anak tempatan. Dua pendekatan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh BPP-MIS melalui Aktiviti Pensijilan Pengasuh Taska adalah:

  • menghantar pengasuh taska masjid untuk mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA Negara, dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (Pendidikan Awal Kanak-Kanak); dan
  • memberi latihan secara berkala melalui kursus pedagogi jangka pendek bagi tujuan meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta membentuk sikap pengasuhan supaya mereka dapat memahami serta berkecekapan melaksanakan tugas sebagai pengasuh dan pembimbing kanak-kanak dalam lingkungan usia 3 – 4 tahun.

Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA Negara menyediakan peluang latihan selama sebulan kepada para pengasuh dengan tujuan memberi mereka ilmu pengetahuan serta kemahiran asas bagi membolehkan mereka dilantik untuk mengendalikan kerja-kerja pengasuhan dan bimbingan kanak-kanak di bawah umur enam (6) tahun. Kehadiran dalam kursus ini membolehkan para pengasuh ditauliahkan untuk bertugas di mana-mana taman asuhan atau bimbingan kanak-kanak.
Program Diploma Perguruan Malaysia (Kursus Dalam Cuti) ditawarkan kepada pemohon yang memiliki sekurang-kurangnya 4 kredit dalam SPM atau (yang setaraf dengannya) yang berminat dan berkelayakan untuk menjadi guru atau pengasuh di Taska Masjid berdasarkan bidang pendidikan awal kanak-kanak yang ditawarkan. Kursus tiga tahun (6 semester) ini merupakan usahasama dengan 3 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) tempatan iaitu IPG Kampus Batu Lintang Kuching, IPG Kampus Rajang, Bintangor, Sarikei dan IPG Kampus Sarawak, Miri.

Program DPM (KDC) bertujuan:

  1. Melahirkan guru yang bersifat ‘generalist with specialisation’ berkelayakan diploma yang berwibawa dari segi penguasaan ilmu dan kemahiran serta ketrampilan profesionalisme dalam bidang keguruan prasekolah;
  2. Melahirkan perwatakan pelajar guru yang mempunyai sahsiah yang sepadu, beretika, berdisiplin, berpotensi dan berketerampilan selaras dengan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) dan Falsafah Pendidikan Negara (FPN);
  3. Menyediakan guru berkelulusan diploma yang dibekalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai keguruan untuk membimbing kanak-kanak prasekolah;
  4. Membentuk guru-guru yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersahsiah keguruan; dan
  5. Mewujudkan interaksi yang positif, memupuk kerjasama dan perasaan muhibbah serta komitmen terhadap tugas serta tanggungjawab sebagai guru Prasekolah.

Aktiviti 04: Pembekalan Bahan Asuhan Taska Masjid

Sesuai dengan aspirasi untuk memastikan kanak-kanak di taska-taska masjid mendapat asuhan dan didikan yang berkualiti dan menyeronokkan, melalui aktiviti ini BPP-MIS menyediakan peruntukan bagi tujuan membantu JKP Masjid memperoleh pelbagai jenis bahan dan peralatan asuhan, bimbingan serta pengajaran asas yang diperlukan untuk memberi suasana serta persekitaran asuhan dan bimbingan yang kondusif dan menarik.

Secara khusus perolehan bahan-bahan ini akan membantu JKP Masjid amnya dan taska masjid khasnya dalam:

  • menambah dan mempelbagaikan bahan serta kelengkapan bagi meningkatkan mutu pengasuhan; dan
  • mengemaskini kemudahan serta peralatan pengasuhan di taska masjid.

Bahan-bahan bantu asuhan dan didikan yang dipereoleh melalui aktiviti ini antaranya adalah seperti alat-alatan permainan, muzik, seni, sukan, permainan, dan perisian.

Aktiviti 05: Pengurusan Kebajikan Kanak-Kanak Taska Masjid

Perkhidmatan asuhan serta bimbingan yang disediakan untuk kanak-kanak di taska tidak hanya memberi tumpuan kepada perkembangan kognitif mereka semata-mata. Pelbagai aspek kebajikan seperti perkembangan sosioemosi, keselamatan, kesihatan dan keselesaan semasa berada di taska juga merupakan perkara yang amat dititikberatkan oleh pihak pengurusan. Sehubungan ini, selain membekalkan JKP Masjid dengan Peraturan dan Panduan Pengurusan Taska, dalam rangka membantu JKP Masjid memperoleh bahan atau kelengkapan yang diperlukan untuk memantapkan pengurusan kebajikan kanak-kanak di taska-taska masjid, BPP-MIS turut membekalkan juga beberapa peralatan dan bahan-bahan asas lain yang diperlukan untuk mewujudkan persekitaran asuhan serta permainan yang selamat, ceria dan selesa.

Berpandukan senarai keperluan yang dikenalpasti oleh pengasuh taska, melalui aktiviti ini BPP-MIS membekalkan atau menyalurkan bantuan kewangan kepada JKP Masjid untuk membantu mereka memperoleh keperluan harian kanak-kanak seperti bahan pencuci, bantal, tilam, dan kelengkapan atau perkakasan seperti perabot, peti sejuk, pemadam api, dan peti pertolongan cemas dapat dilakukan.

Aktiviti 06: Penyeliaan Taska Masjid

Meskipun pada hakikatnya taska masjid adalah di bawah bidang tanggungjawab pengurusan JKP Masjid, pemantauan serta penyeliaan aktiviti asuhan dan bimbingan merupakan tanggungjawab bersama dengan BPP-MIS. Dalam usaha membantu dan memastikan terdapat dan berlakunya kepatuhan pengasuhan kepada kurikulum dan piawai yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib dalam amalan seharian para pengasuh, BPP-MIS terlibat secara langsung dalam urusan penyeliaan secara profesional.

Secara khusus aktiviti ini bertujuan:

  1. membantu pengasuh meningkatkan mutu bimbingan dan asuhan agar objektif asuhan tercapai;
  2. mempastikan kurikulum rasmi dapat dilaksanakan dibilik asuhan seperti yang dikehendaki;
  3. melihat secara langsung amalan para pengasuh dan aktiviti yang berlaku dalam bilik asuhan bagi tujuan mengenalpasti sebarang bentu kekurangan atau kelemahan supaya dapat ditangani segera dan diperkemasbaiki, sementara amalan-amalan yang baik diperkukuh dan diperluaskan; dan
  4. menilai prestasi dan kemahiran para pengasuh sebagai satu usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan serta ketrampilan mereka.

 

Aktiviti 07: Pengurusan Pusat Sumber

Pusat Sumber Pendidikan Awal Kanak-Kanak di tubuhkan di Pusat Kegiatan BPP-MIS, Petra Jaya dengan tujuan untuk menyediakan ruang aktiviti keilmuan serta bahan-bahan berkaitan dengan aktiviti pengasuhan dan bimbingan seperti buku rujukan, peralatan dan bahan asuhan dan pembelajaran yang difikirkan bermanfaat untuk kegunaan para pengasuh, guru dan pengurus taska. Penyediaan bahan serta pengurusan pusat sumber yang cekap dan berkesan adalah penting bagi memungkinkan kemudahan yang ada dapat digunapakai sepenuhnya oleh para pengamal pengasuhan kanak-kanak dalam usaha mereka untuk meningkatkan mutu asuhan dan bimbingan yang mereka beri. Selain itu, pengurusan yang berkesan akan dapat juga menyediakan perkhidmatan kepada pengasuh dan pengusaha taska yang ingin meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan amalan dalam pengurusan dan pengasuhan di taska masing-masing. Justeru, bahan-bahan asuhan dan bahan-bahan bimbingan dan pembelajaran hendaklah sesuai dan sentiasa kemaskini supaya dapat dijadikan rujukan oleh para pengasuh.

Aktiviti Pengurusan Pusat Sumber ini bertujuan:

  1. mengemaskini, melengkapkan dan mempelbagaikan koleksi bahan pusat sumber melalui pemerolehan tahunan;
  2. menyediakan khidmat peminjaman bahan pusat sumber kepada rakan kongsi; dan
  3. menyediakan tempat yang selesa, kondusif dan mesra pengguna bagi membolehkan perjumpaan profesional dalam kalangan para pengamal asuhan dan didikan awal kanak-kanak dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Aktiviti 08: Pengurusan Taska Eksperimental

Taska Eksperimental ditubuhkan sebagai sebahagian daripada aktiviti pendidikan yang disediakan di Pusat Kegiatan BPP-MIS dengan tujuan bukan sahaja untuk menyediakan perkhidmatan pengasuhan kepada kanak-kanak 3 dan 4 tahun dari kalangan penduduk sekitar Petra Jaya, tetapi juga untuk memberi ruang pengujian kesesuaian dan keberkesanan bahan asuhan dan bimbingan serta pembelajaran dalam suasana pengasuhan dan pembelajaran yang sebenar.

Melalui aktiviti ini, aspek perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor kanak-kanak dititikberatkan melalui pengujicubaan bahan-bahan serta pendekatan pengasuhan dan bimbinan yang bersesuaian. Dari aspek kebajikan pula, penekanan diberi kepada penyediaan makanan tambahan yang seimbang serta pengurusan diri yang kemas dan teratur. Dengan pengurusan yang sedemikian, taska eksperimental ini diharapkan dapat dijadikan contoh kepada taska-taska masjid.

Maklumat dan Perkembangan TAsKa BPPMIS boleh dilayari di SINI.

Leave a comment