6 Aktiviti Murid Ketinggalan (Aktiviti #9 hingga #14)



Senarai Aktiviti

  1. Kem Matematik
  2. Kem Bahasa Inggeris
  3. Kem Sains
  4. Kem Kemahiran Membaca melalui KaBoM
  5. Kem Jati Diri
  6. Kem Bina Watak Budaya

Berpandukan strategi “membangun dan menyedia pengalaman pembelajaran khas bagi murid yang ketinggalan”, enam (6) aktiviti di bawah dua (2) program telah dibina dengan tujuan membantu dan membimbing murid-murid sekolah rendah yang tertinggal atau ketinggalan menguasai beberapa kemahiran asas membaca, menulis, mengira dan berfikir. Hasrat untuk melihat semua murid Islam berkeupayaan dan berkeyakinan untuk terus mengikuti pendidikan formal arus perdana, iaitu sifar keciciran, program dan aktiviti untuk kumpulan ini juga memberi tumpuan kepada usaha membentuk jati diri dan membina watak budaya mereka supaya bersikap positif, berkeyakinan diri serta bersemangat cekal untuk terus berada di alam persekolahan.

Berdasarkan maklum balas yang diberi mengenai kurangnya minat terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris, sains dan matematik dalam kalangan murid yang ketinggalan, BPP-MIS telah merangka beberapa aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang memberi keutamaan kepada pendekatan ‘pembelajaran yang menyeronokkan’ dan bersifat ‘hands-on’ untuk mengalak dan mendorong murid-murid ini melihat pembelajaran mata pelajaran ini dari perspektif yang berbeza dan lebih relevan dengan kehidupan seharian.

Aktiviti 09; Kem Matematik

Kem Matematik diadakan dengan tujuan memberi peluang kepada murid yang ketinggalan dalam mata pelajaran ini untuk melihat matematik dari perspektif yang positif, iaitu menarik dan menyeronokkan serta relevan dengan kehidupan seharian mereka. Secara khusus kem ini bertujuan:

  • memupuk sikap positif dan meningkatkan minat murid terhadap subjek Matematik;
  • meningkat kemahiran menyelesaikan masalah matematik; dan
  • meningkat kefahaman tentang kemahiran asas mengira.

Melalui pendekatan yang pelbagai dan menyeronokkan, iaitu bermain sambil belajar secara berkumpulan (fun and team learning) murid-murid dibimbing untuk mengenali diri dan rakan sebaya di samping dibimbing untuk menguasai beberapa kemahiran asas mengira dan menyelesaikan masalah matematik.

Dalam suasana pembelajaran yang santai dan penglibatan aktif melalui aktiviti permainan matematik seperti kuiz, pertandingan antara kumpulan, dan penyelsaikan masalah secara berpasukan, murid-murid digalakan untuk bekerjasama, berani mencuba, bertanya, tidak takut membuat kesalahan, dan bersaing sesama sendiri secara sihat.

Adalah diharapkan dengan terbentuknya semangat sepasukan dan rasa setia kawan dalam kalangan sesama rakan sebaya, dan dibantu pula oleh penguasaan kemahiran asas penting dalam mata pelajaran ini, murid-murid yang ketinggalan ini akan bersikap positif serta berkeyakinan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah masing-masing.

Untuk mewujudkan kesinambungan pula kem ini juga menyediakan peluang dan ruang kepada guru pengiring dan ibu bapa untuk dilibatkan sama agar mereka dapat meneruskan proses pembelajaran seperti ini di sekolah dan di rumah. Antara perkara penting yang diutamakan dalam kem ini untuk murid Tahun 4–6 yang kurang meminati subjek Matematik adalah: motivasi diri; asas Matematik; cara mudah mengira; rekreasi Matematik; dan penyelesaian masalah Matematik.

Aktiviti 10; Kem Bahasa Inggeris

Kem Bahasa Inggeris dibangunkan oleh BPP-MIS sebagai satu aktiviti yang bertujuan membantu murid sekolah rendah yang tertinggal atau ketinggalan dalam penguasaan bahasa Inggeris0. BPP-MIS amat menyedari bahawa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid sangat penting bukan sahaja kerana ia merupakan bahasa komunikasi antarabangsa tetapi juga kerana merupakan bahasa pengantar ilmu sains dan teknologi yang mampu membuka jendela minda murid kepada pelbagai khazanah ilmu lain di alam maya.

Secara khusus, kem ini bertujuan memupuk minat murid yang takut atau malu untuk menggunakan bahasa Inggeris. Kem ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang boleh membantu mereka menanam rasa yakin diri serta meningkat keupayaan untuk menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan berkomunikasi. Pendekatan membimbing melalui nyanyian, bercerita, melakonkan sketsa, permainan serta latihan membina ayat secara lisan dan bertulis digunakan untuk memberi kepelbagaian.

Selain itu Kem ini juga memberi ruang untuk aktiviti berunsur permainan bagi tujuan pembentukan jati diri dan pembinaan watak budaya dalam suasana yang santai.

Murid yang mengikuti Kem ini ditemani oleh guru pengiring dari sekolah berkenaan dan mereka turut berperanan sebagai pembantu fasilitator.

Aktiviti 11; Kem Sains

Mengambil kira tentang pentingnya murid meminati dan memiliki kemahiran asas proses sains untuk membolehkan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains secara berkesan, Kem Sains dibangunkan dengan tujuan untuk membantu murid-murid yang ketinggalan dalam aspek-aspek berikut:

  1. memupuk dan meningkatkan minat terhadap subjek Sains;
  2. memberi kesedaran tentang proses sains dalam kehidupan seharian; dan
  3. meningkat kefahaman tentang proses sains.

BPP-MIS menyedari bahawa pembelajaran sains akan diminati, menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan apabila murid dapat memahami fenomena alam di sekeliling mereka melalui pengalaman, pemerhatian dan pengamatan mereka sendiri.
Bagi membantu mereka berbuat demikian, dalam Kem ini murid terlebih dahulu didedahkan dengan pendekatan saintifik dan dibimbing secara sistematik untuk memahami proses sains. Murid dilibatkan secara langsung dalam aktiviti-aktiviti membuat persampelan, pemerhatian dan kesimpulan.

Kem yang biasanya dikelolakan bersama JKP Masjid dan dikendalikan oleh fasilitator yang dibantu oleh guru-guru pengiring memberi penekanan kepada aktiviti pembelajaran seperti mencari maklumat, membuat pemerhatian dan melakukan uji kaji menggunakan pendekatan jejak sains.

Aktiviti 12; Kem Kemahiran Membaca melalui KaBoM

Menyedari bahawa murid yang ketinggalan atau tertinggal dalam mengikuti pembelajaran seharian di sekolah adalah kerana kurangnya rasa yakin diri dan tidak menguasai kemahiran asas membaca dan menulis, maka Kem ini dibangunkan dengan tujuan khusus untuk memberi peluang kepada murid yang sedemikian mendapat bimbingan supaya menguasai kemahiran asas membaca dan menulis melalui proses pembelajaran yang menggunakan kaedah yang dibangunkan khas mengikut keperluan dan aras kemampuan setiap murid. Di samping itu, bagi tujuan membantu murid yang biasanya menghadapi juga masalah sikap dan keyakinan diri ini, Kem ini memberi tumpuan juga kepada perekara-perkara berikut:

  1. pembentukan keyakinan dan sikap positif diri;
  2. pemupuk minat membaca dan belajar; dan
  3. pengurusan diri dan pembentuk disiplin.

Kem yang memberi tumpuan kepada keperluan murid yang berada dalam Tahun 3 ini dikendalikan oleh para fasilitator yang mempunyai kemampuan untuk menggabungkan secara bersepadu pelbagai teknik dan aktiviti pembelajaran bagi membantu dan membimbing murid menjadi insan yang mempunyai nilai dan harga diri di samping berkeyakinan untuk membantu rakan sebaya mereka yang menghadapi masalah yang sama.

Aktiviti 13: Kem Jati Diri

Kem Jati Diri ini dikhaskan untuk murid Tahun 5 dan Tahun 6. Ia merupakan satu usaha untuk membantu dan membimbing murid yang pendiam dan pemalu menguasai beberapa kemahiran asas sosial seperti berkomunikasi dan berinteraksi supaya mereka dapat menikmati serta mendapat manfaat daripada persekitaran sosiobudaya di sekolah serta lebih berani untuk mengambil bahagian, memainkan peranan aktif dan bersaing dengan teman-teman sebaya. Secara khusus, Kem yang menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid terlibat secara aktif dalam pelbagai bentuk dan corak aktiviti pembelajaran dan permainan ini bertujuan:

  • membantu murid mengenali diri sendiri, mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri dan berani keluar daripada kepompong masing-masing;
  • menanam rasa yakin diri dan percaya kepada kebolehan diri; dan
  • memupuk semangat kekitaan dan rasa persaudaraan.

Kem ini boleh dikelolakan sama ada oleh pihak sekolah, JKP Masjid atau secara usahasama antara pihak masjid dan sekolah dengan BPP-MIS. Aktiviti-aktiviti berbentuk bengkel, permainan, nyanyian dan memain peranan dilakukan secara bersepadu supaya murid-murid dapat bergerak dan berinteraksi secara aktif dan pada masa yang sama menikmati rasa kebermaknaan belajar dan bermain bersama rakan-rakan sebaya.

Aktiviti 14: Kem Bina Watak Budaya

Dengan adanya kemajuan pesat teknologi maklumat dan komunikasi meresap masuk ke dalam kehidupan seharian masyarakat tempatan, kita telah menyaksi beberapa perubahan baharu berlaku kepada lanskap sosiobudaya kita, dan kesan serta pengaruhnya kepada murid-murid sekolah juga turut dirasai. Kanak-kanak hari ini membesar dan membangun dalam lingkungan pengaruh dan cabaran global yang boleh menggugat daya ketahanan jati diri mereka serta pegangan hidup dan budaya yang berlandaskan agama. Budaya setempat yang merangkumi aspek-aspek perlakuan anggota masyarakat seperti norma, amalan, nilai keperibadian diri, peraturan, adat resam, kepercayaan dan sebagainya boleh terhakis sekira tidak ada usaha terancang dilakukan untuk memelihara, memupuk dan mengembangkannya.

Kem ini menyediakan ruang dan peluang untuk kanak-kanak sekolah rendah mengenali diri sendiri, rakan sebaya dan unsur-unsur budaya masyarakatnya. Melalui kefahaman ini, para peserta diharap akan dapat membentuk keperibadian dan jati diri berdasarkan budaya masyarakat setempat dan nilai-nilai sejagat. Secara khusus Kem ini bertujuan:

  1. memperkenalkan unsur-unsur budaya penting dalam masyarakat untuk dijadikan asas pembentukan watak dan jati diri;
  2. membimbing peserta untuk mengenali diri dan rakan sebaya; dan
  3. meningkatkan kesedaran dan menanam rasa tanggungjawab sosial kepada diri sendiri dan masyarakat.

Leave a comment