Definisi Pengasuh dan Kanak-Kanak


PENGASUH TASKA MASJID

Pengasuh Taska Masjid adalah individu yang dicalon atau diamanahkan oleh pihak JK Pengurusan Masjid dan dipastikan telah menjalani serta lulus penilaian Kursus Asuhan PERMATA (KAP) atau ijazah yang lebih tinggi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Kursus KAP biasanya dianjurkan oleh persatuan pengasuh setempat yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak. Kursus ini penting sebagai tauliah kepada pengasuh sungguhpun pada asalnya tiada latar belakang pendidikan formal atau pengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Dalam masa yang sama, pengasuh digalakkan untuk meningkatkan ilmu mereka secara berterusan dengan sentiasa menyertai kursus yang dianjurkan oleh BPP-MIS. Di samping itu, mereka juga perlu berusaha untuk memastikan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia mereka memenuhi syarat umum SPA dengan mengambil Kertas Julai bagi memudahkan pengambilan mereka oleh pihak KEMAS pada masa akan datang.

Dari segi sahsiah pula, pengasuh haruslah menjaga imej dan disiplin diri serta profesional apabila berurusan dengan kanak-kanak dan ibu, bapa atau penjaga mereka. Mereka juga perlu menjaga hubungan baik dengan rakan sejawat dan pihak pengurusan masjid pada setiap masa. Pengasuh bertanggungjawab memantau dan merangsang perkembangan kanak-kanak yang berdaftar di taska masjid. Pengasuh juga perlu menjaga integriti masing-masing dalam simpanan rekod diri (surat lantikan/kehadiran kerja/kesihatan), rekod kanak-kanak (kehadiran harian/kesihatan/data perkembangan) dan rekod taska (carta organisasi/kutipan bulanan/resit perbelanjaan) yang akan disemak oleh pegawai BPP-MIS atau penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak. Akhir sekali, pengasuh harus berbangga dan faham betapa besarnya peranan mereka dalam pembinaan generasi kelas pertama ‘ulul albab’ di taska masing-masing serta melaksanakan tugas dengan ikhlas kerana Allah SWT di sebalik kesukaran yang dihadapi.

 

KANAK-KANAK TASKA MASJID

Kanak-Kanak Taska Masjid adalah kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun yang berdaftar di Taska Masjid. Pengasuhan, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di taska masjid adalah di bawah tanggungjawab bersama pengasuh dan JK Pengurusan Masjid. Kanak-kanak ini disyor untuk didaftar secara atas talian dan dikemaskini oleh pengasuh di bawah program PERMATA agar enam (6) bidang perkembangan mereka dapat dipantau secara menyeluruh. Mereka juga dipastikan mendapat perlindungan takaful yang diuruskan oleh JK Pengurusan Masjid masing-masing. Hasil daripada didikan di taska masjid, BPP-MIS berharap kanak-kanak yang berdaftar akan mesra masjid, bersahsiah mulia, berkeyakinan tinggi, mempunyai jati diri, proaktif, pandai mengurus diri, berpikiran cerdas, kreatif dan lebih bersedia terhadap perubahan persekitarannya serta mengikuti pendidikan tadika pada umur 5 tahun.