Bidang Gerakan Dakwah


Pendidikan || Ekonomi || Sosiobudaya || Perundangan Islam || Gerakan Dakwah || Politik dan Pentadbiran

Rasional

Kerana menyedari bahawa gerakan dakwah yang terancang secara strategik perlu dan penting dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh para pendakwah yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan beriltizam untuk memastikan penyebaran dakwah Islam dilakukan dengan efesien dan efektif, dan menyedari juga bahawa:

  1. Tiadanya pusat perkaderan dakwah bagi melahirkan generasi pelapis dakwah;
  2. Adanya perancangan untuk menjatuhkan imej dan menjajah pemikiran umat Islam;
  3. Terdapatnya salah faham mengenai konsep jihad di kalangan masyarakat Islam;
  4. Program dakwah di Sarawak perlu dimantapkan;
  5. Tanggungjawab dan kegiatan berdakwah diserahkan hanya kepada agensi agama;
  6. Tiada badan khusus untuk menyelaraskan perancangan dan pelaksanaan program dakwah sehingga berlakunya pertindihan usaha yang merugikan;
  7. Sistem bimbingan saudara kita (penganut baru) yang sedia ada tidak bersifat komprehensif dan berterusan;
  8. Kurangnya ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai isu-isu semasa di kalangan pendakwah;
  9. Kurangnya kesefahaman antara ulamak dan umarak;
  10. Kurangnya bilangan pegawai agama berbanding dengan keperluan masyarakat;
  11. Meningkatnya bilangan kes murtad dan pengkristianan orang Islam.
  12. Sempitnya kefahaman tentang peranan masjid di kalangan masyarakat Islam; dan
  13. Kurangnya dana untuk melaksanakan kegiatan dakwah secara lebih meluas dan berkesan.

Usul

Maka berhubung dengan gerakan dakwah, kongres ini mengusulkan supaya usaha, langkah dan tindakan seperti berikut diambil oleh pihak berwajib dan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam gerakan memperkasakan dakwah Islamiah:

  1. Menubuhkan dengan segera pusat latihan bagi pendakwah;
  2. Mengadakan kursus-kursus yang bersesuaian dan berterusan untuk masyarakat Islam bagi memperkukuhkan jati diri muslim;
  3. Menerapkan kefahaman tentang konsep jihad dalam pendidikan kepada masyarakat;
  4. Menggemblengkan tenaga pendakwah daripada kalangan guru agama di sekolah, IPT dan NGO;
  5. Mewujudkan badan induk (think tank) bagi menyelaras dan memantau perancangan dan pelaksanaan gerakan dakwah;
  6. Meningkatkan bilangan pendakwah daripada kalangan pelbagai etnik;
  7. Mengadakan program muzakarah serta kongres secara lebih kerap;
  8. Membuat perancangan keperluan tenaga pegawai agama untuk memenuhi keperluan masyarakat;
  9. Mewujudkan pasukan khas (special task force) untuk segera menangani masalah berkaitan dengan kes-kes murtad dan pengkristianan;
  10. Menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan perkembangan dan pembangunan  umat Islam; dan
  11. Mewujudkan dana khas untuk membiayai aktiviti dakwah.