Bidang Perundangan Islam


Pendidikan || Ekonomi || Sosiobudaya || Perundangan Islam || Gerakan Dakwah || Politik dan Pentadbiran

Usul

Kerana menyedari bahawa kedaulatan perundangan Islam mampu meningkatkan martabat ummah, memberikan pembelaan serta perlindungan kepada semua, dan pelaksanaannya yang efektif mampu mewujudkan masyarakat yang aman sejahtera, dan menyedari juga bahawa:

 

  1. Tiada peruntukan undang-undang untuk menyelaraskan urusan nikah kahwin dengan negara jiran;
  2. Tiada akademi latihan yang khusus untuk melahirkan hakim, pegawai perundangan Islam, dan peguam syarie di Sarawak;
  3. Tiada program khas untuk anak-anak tempatan melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan Islam di dalam dan luar negara;
  4. Kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat Islam mengenai sistem undang-undang Islam;
  5. Masih wujud pandangan dan penerimaan yang berbeza di kalangan masyarakat sendiri mengenai kedudukan dan kewibawaan undang-undang syariah berbanding dengan undang-undang sivil;
  6. Kedudukan pengamal undang-undang syarie dalam sistem perundangan masih belum mendapat pengiktirafan yang sewajarnya;
  7. Tidak ada badan khas untuk meneliti dan mengkaji peruntukan yang berkaitan dengan pentadbiran perundangan Islam di Sarawak;
  8. Terdapat pertindihan dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab di antara Bahagaian Penguatkuasaan dan Bahagian Pendakwaan di Sarawak; dan
  9. Pegawai perundangan Islam masih belum mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti bagi menjamin pelaksanaan perundangan Islam secara berwibawa.

Rasional

Maka berhubung dengan bidang perundangan Islam, kongres ini mengusulkan supaya usaha, langkah dan tindakan seperti berikut diambil oleh pihak berwajib dan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam perundangan Islam:

  1. Mewujudkan sistem penyelarasan rasmi berhubung dengan pelaksanaan undang-undang syariah dengan negara-negara jiran;
  2. Meningkatkan usaha penyaluran dan penyebaran maklumat perundangan kepada semua lapisan masyarakat;
  3. Mewujudkan kefahaman yang lebih mendalam di kalangan masyarakat mengenai kuasa dan bidang kuasa  perundangan Islam dan perundangan sivil;
  4. Meningkatkan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan yang sewajarnya bagi pengamal undang-undang syarie seperti yang dinikmati oleh  pengamal undang-undang sivil;
  5. Meminda seksyen 3(1) Ordinan Majlis Islam untuk membolehkan Yang Dipertuan Agong selaku ketua agama bagi negeri-negeri yang tidak beraja meluluskan undang-undang Islam negeri Sarawak;  
  6. Mewujudkan panel penasihat yang terdiri dari orang-orang berkelulusan syariah bagi memastikan pelaksanaan Tabung Baitulmal selaras dengan kehendak syarak;
  7. Meminda peruntukan dalam Undang-undang Jenayah Syariah 2001 untuk mewajibkan tindakan pemulihan dan pemurnian aqidah dilakukan ke atas orang Islam yang menyatakan hasrat untuk cuba keluar dari Islam;
  8. Menubuhkan pusat pemulihan aqidah untuk mendidik atau memberikan khidmat kaunseling kepada orang yang memerlukan perkhidmatan sedemikian;
  9. Memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengurus hal-hal pembahagian harta pusaka orang-orang Islam yang sekarang ini di bawah kendalian bidang kuasa undang-undang probat di pejabat daerah.
  10. Membuat ketetapan supaya hanya peguam syarie beragama Islam sahaja layak untuk dilantik menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah.
  11. Memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengurus hal-hal berkaitan dengan pengambilan anak angkat di kalangan orang Islam;
  12. Mewujudkan jawatan  pegawai syariah di Pejabat Peguam Besar Negeri; dan
  13. Mewujudkan jawatankuasa perundangan yang bertanggungjawab untuk meneliti dan mengkaji peruntukan yang berkaitan dengan pentadbiran perundangan Islam di Sarawak.