Bidang Pendidikan


Kerana menyedari kepentingan sistem pendidikan yang syumul, menyeluruh dan bersifat sepanjang hayat, mampu melahirkan generasi pemangkin yang mempunyai jati diri yang unggul, berkeyakinan dan berwibawa dan menyedari juga bahawa:

Rasional

  1. Wujudnya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak begitu berkemampuan menjadi bahasa pengantar utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik;
  2. Pendidikan agama dalam sistem pendidikan formal lebih bersifat ritual dan kurang memberikan tumpuan kepada penerapan dan penghayatan nilai-nilai kerohanian;
  3. Kurangnya kesepaduan antara pendidikan formal dan pendidikan tidak formal yang berasaskan masyarakat;
  4. Pendidikan tidak formal perlu menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan formal;
  5. Tahap penghayatan terhadap sejarah bangsa dan agama adalah rendah;
  6. Wujudnya sistem penilaian formal yang terlalu menekankan kepada peperiksaan pusat;
  7. Kebanyakan umat Islam Sarawak masih belum menguasai ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT);
  8. Bilangan sekolah agama masih belum mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat Islam;
  9. Kadar keciciran pelajar Islam yang tinggi; dan
  10. Pencapaian akademik pelajar Islam yang belum memuaskan.

Usul

Maka berhubung dengan bidang pendidikan, kongres ini mengusulkan supaya usaha, langkah dan tindakan seperti berikut diambil oleh pihak berwajib dan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam pendidikan:

  1. Memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakannya sebagai bahasa pengantar sepenuhnya dalam pengajaran, pembelajaran dan penyebaran semua bentuk ilmu dan pendidikan (terutama sains, matematik dan teknologi);
  2. Mewujudkan sistem pendidikan yang menerapkan tarbiyyah rohaniyah dalam pendidikan formal di semua peringkat;
  3. Memastikan kurikulum dan pelaksanaannya bersifat menyeluruh dengan memberikan penekanan juga kepada bidang keusahawanan dan vokasional;
  4. Menyepadukan sistem pendidikan indigineous (berasaskan masyarakat setempat) yang dibangunkan secara sistematik dengan sistem pendidikan formal kementerian pelajaran;
  5. Meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran pedagogi di kalangan pendidik setempat;
  6. Memperbanyak program jati diri yang berteraskan Islam serta sejarah bangsa dan negara;
  7. Meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Islam mengenai pengertian tentang pendidikan yang syumul dan berterusan sepanjang hayat;
  8. Mewujudkan kemudahan latihan dan bimbingan untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ICT di kalangan masyarakat Islam;
  9. Menambahkan bilangan sekolah agama di negeri ini dengan sekurang-kurangnya sebuah di setiap bahagian; dan
  10. Meningkatkan usaha penyerapan budaya ilmu dalam kehidupan seharian masyarakat Islam.