Bidang Ekonomi


Pendidikan || Ekonomi || Sosiobudaya || Perundangan Islam || Gerakan Dakwah || Politik dan Pentadbiran

Rasional

Kerana menyedari bahawa peluang-peluang ekonomi yang sedia ada kurang dimanfaatkan oleh usahawan Muslim untuk membangunkan ekonomi masyarakat Islam secara strategik dalam memastikan kelangsungan ummah agar berupaya menyertai dan berperanan penting dalam arus globalisasi ekonomi,  dan menyedari juga bahawa:  

  1. Fenomena globalisasi boleh menjadi ancaman dan boleh juga menyediakan peluang kepada pengusaha industri dalam meneruskan kelestarian ekonomi;
  2. Kurangnya bilangan dan penyertaan masyarakat Islam dalam dunia pedagangan dan perniagaan;
  3. Tiadanya prasarana yang menyatukan usahawan-usahawan Muslim;
  4. Kurangnya kerjasama dan usahasama di antara usahawan Muslim dan bukan Muslim;
  5. Kurangnya penyertaan usahawan Muslim dalam kegiatan ekonomi negeri;
  6. Kurangnya usaha mengkomersilkan produk-produk usahawan Muslim Sarawak;
  7. Kedudukan dana masyarakat Islam yang belum kukuh dan belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendukung ekonomi;  dan
  8. Kurangnya latihan, kemahiran dan ilmu dalam bidang keusahawanan di kalangan masyarakat Islam

Usul

Maka berhubung dengan bidang ekonomi, kongres ini mengusulkan supaya usaha, langkah dan tindakan seperti berikut diambil oleh pihak berwajib dan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam pembangunan ekonomi:

  1. Memperbanyak bilangan usahawan, pedagang dan peniaga Muslim melalui:
    • Perancangan strategik pembangunan sumber manusia oleh badan korporat dan badan amanah dalam melahirkan usahawan Muslim Sarawak,
    • Pewujudan satu dana khas untuk membantu usahawan-usahawan baru Muslim membiayai perniagaan mereka,
    • Penubuhan akademi usahawan Muslim sebagai institusi latihan untuk menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas pengurusan dan teknikal dalam bidang keusahawanan, dan
    • Penggubalan program pengukuhan serta penerapan nilai-nilai ekonomi Islam di kalangan usahawan muslim.
  2. Menerima pakai  atau menggunakan model Jihad Bisnes yang dipelopori oleh Johor Corp;
  3. Memberikan rangsangan dan bimbingan kepada usahawan Muslim Sarawak agar berkemampuan menghasilkan dan mempromosikan produk-produk ke peringkat antarabangsa;
  4. Mewujudkan kesedaran di kalangan Muslim untuk mewakafkan sebahagian hasil pendapatan mereka untuk disalurkan bagi tujuan pembangunan ummah, serta mengusahakan penubuhan sebuah agensi bagi menguruskan wakaf-wakaf agar boleh menjadi aset yang menguntungkan ummah;
  5. Memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat dengan membangunkan ISP berteraskan Islam; dan
  6. Mengadakan lebih banyak usahasama dan kerjasama ekonomi dengan golongan bukan Muslim.