Resolusi Kongres Islam Sarawak 2009


Pendidikan || Ekonomi || Sosiobudaya || Perundangan Islam || Gerakan Dakwah || Politik dan Pentadbiran

Pengenalan

Kongres Islam Sarawak telah berlangsung di Hotel Grand Margherita – Riverside Majestic, Kuching pada 10-12 Februari 2009 dihadiri oleh sekitar 400 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan dan usia, dari seluruh negeri Sarawak dan beberapa peserta dari Sabah dan Negara Brunei Darussalam. Resolusi Kongres ini telah diperhalusi dan diperkemaskan oleh Jawatankuasa Persidangan Kongres Islam Sarawak 2009 yang berpusat di Biro Perkhidmatan Pendididikan Majlis Islam Sarawak, bagi pihak Jawatankuasa Kongres Islam Sarawak 2009, untuk tindakan selanjutnya oleh mana-mana pihak berkenaan dan berkepentingan. Kongres ini merupakan susulan dan perkembangan daripada Kongres Islam Malaysia Timur yang telah diadakan pada 3 – 5 Mei 1968 di Dewan Masyarakat, Kuching. Kongres ini menumpu sepenuh perhatian terhadap perkembangan agama Islam dan masyarakat Islam di Sarawak, dengan tujuan menilai sejauh mana idea dan pandangan daripada Kongres Islam Malaysia Timur pada tahun 1968 telah direalisasikan, atau berubah dalam konteks realiti semasa.

Pengisian Kongres

Kertas Kerja 1
“Penyertaan dan Prestasi Pelajar Islam Sarawak dalam Pendidikan Rendah dan Menengah”
Tarikh: 9 Ogos 2008 Masa: 0930 – 1030
Pembentang : Dr Haji Julaihi Bin Haji Bujang (Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak)
Pengerusi : Dr Zulwali Kifli Merawi

Kertas Kerja 2
“Penyertaan dan Prestasi Pelajar Islam Sarawak dalam Pendidikan Peringkat Pengajian Tinggi”
Tarikh: 9 Ogos 2008 Masa: 1100 – 1200
Pembentang : Dr Shahren Tun Ahmad Zaidi (Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak)
Pengerusi : Dr Zulwali Kifli Merawi

Kertas Kerja 3
“Penyertaan dan Penglibatan Orang Islam Sarawak dalam Dunia Perniagaan”
Tarikh: 9 Ogos 2008 Masa: 1200 – 1300
Pembentang : Profesor Dr Abd Rahman Deen (Pensyarah, Universiti Teknologi MARA Kampus Sarawak)
Pengerusi : Pn. Noriah Ahmad

Info Kolokium
Kolokium Pendidikan Mahasiswa Islam 2008
PEMBENTANGAN KERTAS KERJA
Kertas Kerja 4
“SCORE dan Pembangunan Ekonomi di Sarawak”
Tarikh: 10 Ogos 2008 Masa: 0830 – 0930
Pembentang : Encik Ismawi Hj Ismuni (Pengarah, Unit Perancangan Negeri (SPU), Jabatan Ketua Menteri, Sarawak)
Pengerusi : Sulaiman Wak

Kertas Kerja 5
“Perkembangan Sosiobudaya dan Politik di Sarawak: Isu dan Cabaran”
Tarikh: 10 Ogos 2008 Masa: 0930 – 1030
Pembentang : Profesor Dr Awg Hasmadi bin Awg Mois (Bekas Pensyarah, Universiti Kebangsaan Malaysia)
Pengerusi : Encik Abg Sallehuddin bin Abg Shokeran

Taklimat 1
“Kedudukan Orang Melayu dalam Perkhidmatan Awam & Dunia Korporat”
Tarikh: 9 Ogos 2008 Masa: 1300 – 1330
Pembentang : Tuan Hj. Sarudu bin Hj Hoklai (Pengarah Unit Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri, Sarawak)
Pengerusi : Dr. Akbar Ibrahim

Taklimat 2
“Taklimat Hasil Kajian Sosial mengenai Masyarakat Islam di Sarawak”
Tarikh: 10 Ogos 2008 Masa: 1100 – 1130
Pembentang : Profesor Dr Napsiah binti Mahfuz (Pensyarah, Pusat Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sarawak)
Pengerusi : Encik Saiee Driss

Kongres ini juga mencambah fikiran untuk memeta visi, strategi dan langkah-langkah baru ke arah:

  • Meluaskan khidmat pemeliharaan/penjagaan ummah yang lebih berkesan dan menyeluruh,
  • Membangunkan keupayaan ummah untuk menghadapi cabaran dan ancaman semasa dan masa depan, dan
  • Mengukuhkan maruah ummah serta meningkatkan martabat agama Islam supaya lebih disegani dan dihormati masyarakat majmuk.

Berpandukan matlamat dan berdasarkan tema, Ummah Bermaruah, kongres ini telah diisi dengan aktiviti-aktiviti berikut:

  1. Forum Retrospektif
  2. Ucapan dan Amanat YAB Ketua Menteri
  3. Pembentangan Kertas Kerja
  4. Perkongsian Maklumat dan Interaksi
  5. Bengkel, dan
  6. Sidang Pleno.

HASIL Kongres

Hasil daripada aktiviti-aktiviti ini Kongres Islam Sarawak 2009 telah mengemukakan usul dalam enam bidang berikut: 

  1. Bidang Pendidikan;
  2. Bidang Ekonomi;
  3. Bidang Sosiobudaya;
  4. Bidang Perundangan Islam;
  5. Bidang Gerakan Dakwah; dan
  6. Bidang Politik dan Pentadbiran.

Sebagai rumusan, Kongres ini telah menggariskan 54 usul berikut:

  1. Memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakannya sebagai bahasa pengantar sepenuhnya dalam pengajaran, pembelajaran dan penyebaran semua bentuk ilmu dan pendidikan (terutama sains, matematik dan teknologi);
  2. Mewujudkan sistem pendidikan yang menerapkan tarbiyyah rohaniyah dalam pendidikan formal di semua peringkat;
  3. Memastikan kurikulum dan pelaksanaannya bersifat menyeluruh dengan memberikan penekanan juga kepada bidang keusahawanan dan vokasional;
  4. Menyepadukan sistem pendidikan indigineous (berasaskan masyarakat setempat) yang dibangunkan secara sistematik dengan sistem pendidikan formal kementerian pelajaran;
  5. Meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran pedagogi di kalangan pendidik setempat;
  6. Memperbanyak program jati diri yang berteraskan Islam serta sejarah bangsa dan negara;
  7. Meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Islam mengenai pengertian tentang pendidikan yang syumul dan berterusan sepanjang hayat;
  8. Mewujudkan kemudahan latihan dan bimbingan untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ICT di kalangan masyarakat Islam;
  9. Menambahkan bilangan sekolah agama di negeri ini dengan sekurang-kurangnya sebuah di setiap bahagian;
  10. Meningkatkan usaha penyerapan budaya ilmu dalam kehidupan seharian masyarakat Islam.
  11. Memperbanyak bilangan usahawan, pedagang dan peniaga Muslim melalui:
    • Perancangan strategik pembangunan sumber manusia oleh badan korporat dan badan amanah dalam melahirkan usahawan Muslim Sarawak,
    • Pewujudan satu dana khas untuk membantu usahawan-usahawan baru Muslim membiayai perniagaan mereka,
    • Penubuhan akademi usahawan Muslim sebagai institusi latihan untuk menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas pengurusan dan teknikal dalam bidang keusahawanan, dan
    • Penggubalan program pengukuhan serta penerapan nilai-nilai ekonomi Islam di kalangan usahawan muslim.
  12. Menerima pakai  atau menggunakan model Jihad Bisnes yang dipelopori oleh Johor Corp;
  13. Memberikan rangsangan dan bimbingan kepada usahawan Muslim Sarawak agar berkemampuan menghasilkan dan mempromosikan produk-produk ke peringkat antarabangsa;
  14. Mewujudkan kesedaran di kalangan Muslim untuk mewakafkan sebahagian hasil pendapatan mereka untuk disalurkan bagi tujuan pembangunan ummah, serta mengusahakan penubuhan sebuah agensi bagi menguruskan wakaf-wakaf agar boleh menjadi aset yang menguntungkan ummah;
  15. Memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat dengan membangunkan ISP berteraskan Islam; dan
  16. Mengadakan lebih banyak usahasama dan kerjasama ekonomi dengan golongan bukan Muslim.
  17. Memperbanyak program untuk memperkasakan jati diri segenap lapisan masyarakat;
  18. Memastikan masyarakat Islam memanfaatkan sepenuhnya setiap peluang pendidikan formal dan tidak formal yang disediakan;
  19. Menilai semula pengamalan adat supaya bersesuaian dengan ajaran agama Islam;
  20. Menyediakan peluang dan kemudahan supaya ibu bapa dapat memainkan juga peranan keibubapaan mereka di luar lingkungan rumah melalui institusi-institusi sosial lain;
  21. Merancang dan melaksanakan program teknikal dan vokasional di kawasan perumahan;
  22. Mengadakan lebih banyak kursus-kursus keibubapaan;
  23. Mewujudkan lebih banyak direktori maklumat yang mudah dicapai oleh setiap individu, keluarga  masyarakat.
  24. Mewujudkan sistem penyelarasan rasmi berhubung dengan pelaksanaan undang-undang syariah dengan negara-negara jiran;
  25. Meningkatkan usaha penyaluran dan penyebaran maklumat perundangan kepada semua lapisan masyarakat;
  26. Mewujudkan kefahaman yang lebih mendalam di kalangan masyarakat mengenai kuasa dan bidang kuasa  perundangan Islam dan perundangan sivil;
  27. Meningkatkan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan yang sewajarnya bagi pengamal undang-undang syarie seperti yang dinikmati oleh  pengamal undang-undang sivil;
  28. Meminda seksyen 3(1) Ordinan Majlis Islam untuk membolehkan Yang Dipertuan Agong selaku ketua agama bagi negeri-negeri yang tidak beraja meluluskan undang-undang Islam negeri Sarawak;  
  29. Mewujudkan panel penasihat yang terdiri dari orang-orang berkelulusan syariah bagi memastikan pelaksanaan Tabung Baitulmal selaras dengan kehendak syarak;
  30. Meminda peruntukan dalam Undang-undang Jenayah Syariah 2001 untuk mewajibkan tindakan pemulihan dan pemurnian aqidah dilakukan ke atas orang Islam yang menyatakan hasrat untuk cuba keluar dari Islam;
  31. Menubuhkan pusat pemulihan aqidah untuk mendidik atau memberikan khidmat kaunseling kepada orang yang memerlukan perkhidmatan sedemikian;
  32. Memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengurus hal-hal pembahagian harta pusaka orang-orang Islam yang sekarang ini di bawah kendalian bidang kuasa undang-undang probat di pejabat daerah.
  33. Membuat ketetapan supaya hanya peguam syarie beragama Islam sahaja layak untuk dilantik menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah.
  34. Memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengurus hal-hal berkaitan dengan pengambilan anak angkat di kalangan orang Islam;
  35. Mewujudkan jawatan  pegawai syariah di Pejabat Peguam Besar Negeri;
  36. Mewujudkan jawatankuasa perundangan yang bertanggungjawab untuk meneliti dan mengkaji peruntukan yang berkaitan dengan pentadbiran perundangan Islam di Sarawak.
  37. Menubuhkan dengan segera pusat latihan bagi pendakwah;
  38. Mengadakan kursus-kursus yang bersesuaian dan berterusan untuk masyarakat Islam bagi memperkukuhkan jati diri muslim;
  39. Menerapkan kefahaman tentang konsep jihad dalam pendidikan kepada masyarakat;
  40. Menggemblengkan tenaga pendakwah daripada kalangan guru agama di sekolah, IPT dan NGO;
  41. Mewujudkan badan induk (think tank) bagi menyelaras dan memantau perancangan dan pelaksanaan gerakan dakwah;
  42. Meningkatkan bilangan pendakwah daripada kalangan pelbagai etnik;
  43. Mengadakan program muzakarah serta kongres secara lebih kerap;
  44. Membuat perancangan keperluan tenaga pegawai agama untuk memenuhi keperluan masyarakat;
  45. Mewujudkan pasukan khas (special task force) untuk segera menangani masalah berkaitan dengan kes-kes murtad dan pengkristianan;
  46. Menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan perkembangan dan pembangunan  umat Islam;
  47. Mewujudkan dana khas untuk membiayai aktiviti dakwah.
  48. Menambahkan peluang latihan secara berterusan bagi pemimpin-pemimpin Islam dalam bidang kepimpinan dan pengurusan;
  49. Memurnikan kurikulum di pusat-pusat pendidikan agar selaras dengan ajaran Islam;
  50. Menggunakan media massa sepenuhnya bagi tujuan menyedarkan masyarakat Islam tentang tanggungjawab pemimpin dan kepimpinan dalam menjaminkan kelangsungan ummah; 
  51. Menyedarkan setiap pemimpin Islam tentang kewajipan dan tanggungjawab mereka sebagai penggerak utama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat;
  52. Meningkatkan mutu kepemimpinan pemimpin-pemimpin Islam yang sedia ada melalui penguasaan ilmu pengetahuan tentang sejarah kepimpinan dan kepekaan tentang isu-isu sosial semasa;
  53. Mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama di antara pemimpin semasa dengan golongan muda bagi memperkasakan politik dan kepimpinan di kalangan ummah; dan
  54. Melahirkan ramai pemimpin pelapis yang berwibawa dan mempunyai ketokohan untuk menjadi pewaris yang bertanggungjawab dalam memimpin ummah.