Pensijilan Pengasuh Taska Masjid


Satu daripada langkah utama yang telah diambil oleh BPP-MIS untuk membantu JKP Masjid mendapat khidmat pengasauhan kanak-kanak yang berkualiti untuk ditempatkan di taska masjid masing-masing adalah melalui bantuan latihan bagi pengasuh yang telah dikenalpasti dan dilantik daripada kalangan anak-anak tempatan. Dua pendekatan yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh BPP-MIS melalui Aktiviti Pensijilan Pengasuh Taska adalah:

  • menghantar pengasuh taska masjid untuk mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA Negara, dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (Pendidikan Awal Kanak-Kanak); dan
  • memberi latihan secara berkala melalui kursus pedagogi jangka pendek bagi tujuan meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta membentuk sikap pengasuhan supaya mereka dapat memahami serta berkecekapan melaksanakan tugas sebagai pengasuh dan pembimbing kanak-kanak dalam lingkungan usia 3 – 4 tahun.

Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA Negara menyediakan peluang latihan selama sebulan kepada para pengasuh dengan tujuan memberi mereka ilmu pengetahuan serta kemahiran asas bagi membolehkan mereka dilantik untuk mengendalikan kerja-kerja pengasuhan dan bimbingan kanak-kanak di bawah umur enam (6) tahun. Kehadiran dalam kursus ini membolehkan para pengasuh ditauliahkan untuk bertugas di mana-mana taman asuhan atau bimbingan kanak-kanak.
Program Diploma Perguruan Malaysia (Kursus Dalam Cuti) ditawarkan kepada pemohon yang memiliki sekurang-kurangnya 4 kredit dalam SPM atau (yang setaraf dengannya) yang berminat dan berkelayakan untuk menjadi guru atau pengasuh di Taska Masjid berdasarkan bidang pendidikan awal kanak-kanak yang ditawarkan. Kursus tiga tahun (6 semester) ini merupakan usahasama dengan 3 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) tempatan iaitu IPG Kampus Batu Lintang Kuching, IPG Kampus Rajang, Bintangor, Sarikei dan IPG Kampus Sarawak, Miri.

Program DPM (KDC) bertujuan:

  1. Melahirkan guru yang bersifat ‘generalist with specialisation’ berkelayakan diploma yang berwibawa dari segi penguasaan ilmu dan kemahiran serta ketrampilan profesionalisme dalam bidang keguruan prasekolah;
  2. Melahirkan perwatakan pelajar guru yang mempunyai sahsiah yang sepadu, beretika, berdisiplin, berpotensi dan berketerampilan selaras dengan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) dan Falsafah Pendidikan Negara (FPN);
  3. Menyediakan guru berkelulusan diploma yang dibekalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai keguruan untuk membimbing kanak-kanak prasekolah;
  4. Membentuk guru-guru yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersahsiah keguruan; dan
  5. Mewujudkan interaksi yang positif, memupuk kerjasama dan perasaan muhibbah serta komitmen terhadap tugas serta tanggungjawab sebagai guru Prasekolah.

Leave a comment

Your email address will not be published.