Kem Matematik


Kem Matematik diadakan dengan tujuan memberi peluang kepada murid yang ketinggalan dalam mata pelajaran ini untuk melihat matematik dari perspektif yang positif, iaitu menarik dan menyeronokkan serta relevan dengan kehidupan seharian mereka. Secara khusus kem ini bertujuan:

  • memupuk sikap positif dan meningkatkan minat murid terhadap subjek Matematik;
  • meningkat kemahiran menyelesaikan masalah matematik; dan
  • meningkat kefahaman tentang kemahiran asas mengira.

Melalui pendekatan yang pelbagai dan menyeronokkan, iaitu bermain sambil belajar secara berkumpulan (fun and team learning) murid-murid dibimbing untuk mengenali diri dan rakan sebaya di samping dibimbing untuk menguasai beberapa kemahiran asas mengira dan menyelesaikan masalah matematik.

Dalam suasana pembelajaran yang santai dan penglibatan aktif melalui aktiviti permainan matematik seperti kuiz, pertandingan antara kumpulan, dan penyelsaikan masalah secara berpasukan, murid-murid digalakan untuk bekerjasama, berani mencuba, bertanya, tidak takut membuat kesalahan, dan bersaing sesama sendiri secara sihat.

Adalah diharapkan dengan terbentuknya semangat sepasukan dan rasa setia kawan dalam kalangan sesama rakan sebaya, dan dibantu pula oleh penguasaan kemahiran asas penting dalam mata pelajaran ini, murid-murid yang ketinggalan ini akan bersikap positif serta berkeyakinan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah masing-masing.

Untuk mewujudkan kesinambungan pula kem ini juga menyediakan peluang dan ruang kepada guru pengiring dan ibu bapa untuk dilibatkan sama agar mereka dapat meneruskan proses pembelajaran seperti ini di sekolah dan di rumah. Antara perkara penting yang diutamakan dalam kem ini untuk murid Tahun 4–6 yang kurang meminati subjek Matematik adalah: motivasi diri; asas Matematik; cara mudah mengira; rekreasi Matematik; dan penyelesaian masalah Matematik.

Leave a comment

Your email address will not be published.