Kem Bina Watak Budaya


Dengan adanya kemajuan pesat teknologi maklumat dan komunikasi meresap masuk ke dalam kehidupan seharian masyarakat tempatan, kita telah menyaksi beberapa perubahan baharu berlaku kepada lanskap sosiobudaya kita, dan kesan serta pengaruhnya kepada murid-murid sekolah juga turut dirasai. Kanak-kanak hari ini membesar dan membangun dalam lingkungan pengaruh dan cabaran global yang boleh menggugat daya ketahanan jati diri mereka serta pegangan hidup dan budaya yang berlandaskan agama. Budaya setempat yang merangkumi aspek-aspek perlakuan anggota masyarakat seperti norma, amalan, nilai keperibadian diri, peraturan, adat resam, kepercayaan dan sebagainya boleh terhakis sekira tidak ada usaha terancang dilakukan untuk memelihara, memupuk dan mengembangkannya.

Kem ini menyediakan ruang dan peluang untuk kanak-kanak sekolah rendah mengenali diri sendiri, rakan sebaya dan unsur-unsur budaya masyarakatnya. Melalui kefahaman ini, para peserta diharap akan dapat membentuk keperibadian dan jati diri berdasarkan budaya masyarakat setempat dan nilai-nilai sejagat. Secara khusus Kem ini bertujuan:

  1. memperkenalkan unsur-unsur budaya penting dalam masyarakat untuk dijadikan asas pembentukan watak dan jati diri;
  2. membimbing peserta untuk mengenali diri dan rakan sebaya; dan
  3. meningkatkan kesedaran dan menanam rasa tanggungjawab sosial kepada diri sendiri dan masyarakat.

Leave a comment

Your email address will not be published.