5 Aktiviti Murid Berbakat


SENARAI AKTIVITI

  1. Kem Taranum (atau Kem Taranum al-Quran)
  2. Kem Pembangunan Diri Murid Cerdas
  3. Kem Asas Kepimpinan (atau Kem Kepimpinan Sekolah)
  4. Kem Pengucapan Awam
  5. Kem Seni Khat

BPP-MIS menyedari bahawa murid yang berbakat dan memiliki kebolehan yang istimewa (gifted or talented) adalah antara kumpulan murid sekolah rendah yang perlu diberi bimbingan dan peluang pembelajaran yang khusus supaya bakat dan minat semulajadi mereka itu dapat dipupuk dan dikembangkan sepenuhnya. Murid yang berbakat dan berpotensi ini mempunyai harapan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi dalam bidang kecenderungan masing-masing sekiranya mereka diberi kesempatan dan bimbingan yang sesuai dan bertepatan dengan keperluan serta bakat mereka. Berpandukan hasrat strategik untuk melihat “semua murid yang berbakat mempunyai keyakinan dan semangat untuk mengembangkan potensi masing-masing’ dan bakat mereka ini dihargai, diiktiraf dan dirayai bersama oleh masyarakat, BPP-MIS telah merangka lima (5) aktiviti di bawah dua (2) program.

Aktiviti dirancang dengan tujuan memenuhi keperluan pendidikan dan bimbingan kumpulan murid yang berbakat ini, khususnya tertumpu kepada bakat yang dapat menampilkan diri mereka sebagai anak muda Islam yang berketrampilan dari aspek kognitif, dan juga dalam bidang kepimpinan, tilawah Al-Quran, seni khat, dan seni pengucapan awam.

Aktiviti 15; Kem Taranum Al-Quran

Anugerah semula jadi pemberian Ilahi kepada sebahagian daripada murid-murid sekolah ialah suara merdu dan bakat melagukan bacaan Al-Quran. BPP-MIS dan masyarakat setempat amat menyedari bahawa bakat ini perlu digilap dan dibimbing dengan baik bagi membantu murid-murid ini mendapat ilmu dan kemahiran yang sesuai untuk membolehkan mereka diangkat menjadi ikon di sekolah atau kampung masing-masing, Dengan kerjasama beberapa orang qari yang berpengalaman, BPP-MIS telah menghasilkan modul pembelajaran yang dijadikan panduan utama dalam pengisian Kem Taranum Al-Quran.

Secara amnya Kem ini bertujuan membimbing para peserta yang terpilih kerana kebolehan dan bakat mereka supaya mereka dapat meningkatkan mutu bacaan Al-Quran dengan cara bertaranum.

Kem yang dijalankan di masjid-masjid oleh fasilitator Al-Quran bertauliah yang dilantik oleh JKP Masjid bertujuan:

  • memberi pengukuhan kepada sebutan huruf dan ilmu tajwid;
  • memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam beberapa jenis lagu dalam bacaan Al-Quran secara bertaranum; dan
  • membangunkan potensi dan bakat serta memupuk keyakinan diri peserta.

Aktiviti 16; Kem Pembangunan Diri Murid Cerdas

Murid yang mempunyai kecerdasan yang tinggi perlu disediakan peluang untuk mendapat bimbingan khas bagi meningkatkan keupayaan mereka memanfaatkan sepenuhnya kecerdasan yang mereka miliki. Murid-murid berbakat ini wajar sekali diberi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan supaya potensi dan bakat yang ada itu dapat dibangunkan secara berkesan untuk membolehkan mereka mendapat asas kukuh bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran masing-masing

Kem ini bertujuan membantu dan membimbing murid-murid berbakat dan berpotensi memperoleh ilmu dan menguasai kemahiran serta membentuk sikap yang diharap boleh menyerlahkan sertra menampilkan kecemerlangan mereka masing-masing. Bidang yang diberi tumpuan dalam kem ini adalah: kemahiran komunikasi; kemahiran belajar secara berkumpulan; pengurusan masa; kemahiran mencari maklumat; dan kemahiran menyelesai masalah.

Kem ini biasanya dikelolakan dalam bentuk bengkel, main peranan dan aktiviti berkumpulan oleh BPP-MIS dengan kerjasama JK Pengurusan Masjid, dan dikendalikan oleh fasilitator yang berpengalaman.

Aktiviti 17; Kem Asas Kepimpinan

BPP-MIS mengakui bahawa bakat serta potensi kepimpinan yang ada pada murid-murid sekolah rendah yang telah dilantik sebagai pengawas atau ketua darjah perlu diasah dan dibentuk supaya mereka berkeyakinan dan berkecekapan untuk menjadi pemimpin dalam kalangan rakan sebaya. Pemimpin yang berwibawa dan berkeyakinan tinggi dalam kalangan murid merupakan insan penting yang boleh berperanan sebagai pendorong kepada rakan sebaya mereka serta berperanan membantu guru dan pihak sekolah dalam melaksanakan pelbagai aktiviti sekolah. Justeru, sebagai pemimpin muda mereka memerlukan bimbingan dan tunjukajar supaya memiliki pengetahuan dan kemahiran asas dalam kepimpinan dan pengurusan.

Kem Kepimpinan Sekolah bertujuan menyediakan peluang kepada pemimpin murid untuk meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran asas dalam bidang kepimpinan dan pengurusan aktiviti supaya terbina rasa yakin diri dan bersedia untuk memikul tanggungjawab kepimpinan yang diberi. Secara khusus Kem ini beretujuan memimpin pengawas dan ketua darjah yang berada dalam Tahun 5 dan Tahun 6 untuk:

  • memahami konsep asas kepimpinan dan pengurusan;
  • memahami peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin di peringkat sekolah; dan
  • memupuk rasa yakin dan percaya terhadap kemampuan diri sebagai pemimpin rakan sebaya.

Kem ini biasanya dikelolakan oleh JKP Masjid atau Sekolah dengan kerjasama BPP-MIS atau Rakan Kongsi dalam bentuk bengkel, ceramah dan latihan amali.

Aktiviti 18; Kem Pengucapan Awam

Kemahiran komunikasi adalah satu aspek penting dalam kehidupan bermasyarakat. Penguasaan kemahiran ini memudahkan seseorang untuk berinteraksi, bersosialisasi, memahami dan difahami. Kemahiran dalam bidang ini boleh dikuasai melalui penglibatan langsung dalam pelbagai aktiviti dan latihan yang memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi.
Kursus ini menyediakan ruang kepada murid sekolah rendah yang berpotensi untuk meningkatkan kecekapan mereka berkomunikasi, bukan sahaja dengan rakan sebaya tetapi juga dengan khalayak ramai dalam pelbagai konteks sosial.

OBJEKTIF

  1. Meningkatkan keyakinan dan potensi diri
  2. Meningkatkan kemahiran dan keupayaan berkomunikasi dalam pelbagai konteks sosial
  3. Meningkatkan kreativiti dalam berbahasa dan berhujah

Kem yang dikhususkan untuk murid Tahun 5 dan 6 dijalankan dalam bentuk ceramah, kerja amali dan tayang, dan merangkumi perkara asas berikut: kemahiran bertutur, menulis laporan ringkas, lakon watak, baca dan deklamasi puisi, pengucapan awam dan penyediaan skrip ucapan. Para peserta Kem biasanya dibimbing oleh para fasilitator berpengalaman seperti:

  1. Hj. Jamil bin Hj. Alop
  2. Hj. Merican bin Rosli
  3. Hj. Dahlin bin Salin
  4. Abang Seruji bin Abang Muhi

Aktiviti 19; Kem Seni Khat

BPP-MIS berpendirian bahawa seni khat sebagai satu cabang seni halus perlu dipupuk dan dipelihara sebagai khazanah tamadun Islam. Dengan memperkenalkan seni khat kepada kanak-kanak yang berbakat dalam bidang lukisan, BPP-MIS berharap mereka bukan sahaja dapat dididik untuk menghargai keindahan dan nilai-nilai kehalusan seni tersebut melalui proses pengkaryaannya, tetapi juga dibimbing untuk mengenali beberapa kemahiran asas yang kelak dapat dikembangkan untuk membolehkan mereka menghasilkan seni khat yang baik.

Kem Seni Khat bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk mendapat bimbingan yang terancang supaya bakat dan kemahiran asas mereka dalam penulisan khat boleh digilap. Dengan ini, adalah diharap kursus ini menjadi pemangkin ke arah penyuburan minat yang berterusan terhadap seni khat sehingga menjadi satu kegemaran atau hobi yang boleh mendatangkan manfaat dalam jangka masa panjang kepada dirinya dan masyarakat. Secara khusus Kem ini bertujuan:

  1. memperkenal seni khat dan persejarahan berkaitan;
  2. memupuk kemahiran asas menulis khat sebagai satu karya seni; dan
  3. menyuburkan minat dan rasa cintakan seni khat.

Leave a comment