Kenali Kami


Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak

Logo-Majlis-Islam-Sarawakatau singkatannya BPP-MIS adalah satu (1) daripada tiga (3) agensi di bawah naungan Majlis Islam Sarawak (MIS) ditubuhkan dalam bulan Oktober 2007 dengan hanya Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah sebagai Pengarah pada masa itu untuk memikir, merancang dan menjadikan biro satu organisasi dibawah naungan Majlis Islam Sarawak.  BPP-MIS bertanggungjawab untuk membantu MIS dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada pendidikan ummah dalam memperkasa umat Islam di Sarawak.  Hasrat ini direalisasikan dengan pelbagai inisiatif pendidikan dalam komuniti berpusatkan masjid atau sekolah berhampiran di kawasan yang memerlukan. BPP-MIS juga berusaha membina dan memperluaskan jaringan kerjasama daripada ahli akademik, ilmuwan, para profesional dan agensi berkaitan agar dapat menjadi rakan kongsi kepada institusi masjid.

Pejabat BPP-MIS telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Daud Ir. Haji Daud bin Abdul Rahman pada 28 Mac 2008 (Jumaat) di Bilik Seminar, Tingkat 2, pejabat tersebut dengan hanya berbekalkan 12 staf pada ketika itu. Pada tahun berikutnya, aktiviti pertama telah dijalankan pada bulan April adalah Kursus untuk Pemantapan Jati Diri untuk para pentadbir pendidikan, pegawai masjid dan pemimpin pelajar.
Logo agensi ini terdiri daripada tiga huruf hijaiyah iaitu ‘ain’, ‘lam’ dan ‘mim’ yang bermaksud ilmu dengan perkataan “biro perkhidmatan pendidikan” di bawahnya bagi melambangkan fungsi organisasi untuk memartabatkan ilmu serta membantu institusi masjid / surau di seluruh negeri Sarawak dengan mengusahakan pelbagai inisiatif pendidikan di komuniti masing-masing.

Menyingkap sejarah penubuhan agensi ini, idea asal adalah daripada Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu iaitu Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Beliau berharap agar MIS dapat membantu dalam memenuhi keperluan pendidikan masyarakat Islam dan menjadikan institusi masjid di seluruh negeri Sarawak sebagai nadi pembangunan ummah. Bagi mengenal pasti keperluan ummah, Bengkel Bina Upaya Ummah (BBUU 2007) yang pertama telah diadakan dengan bantuan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS Sarawak) pada Disember 2007 bagi mengenalpasti keperluan dan masalah yang dihadapi ummah serta menggariskan bidang, strategi dan pendekatan kepada penyelesaiannya. Hasilnya, sembilan (9) bidang bina upaya telah dirumuskan daripada bengkel tersebut dan tiga (3) daripadanya dijadikan fokus pelbagai inisiatif pendidikan yang diusahakan oleh BPP-MIS. Tiga (3) kumpulan sasar utama telah dikenalpasti dan diperincikan seperti berikut:

KANAK-KANAK

  1. Kanak-Kanak Prasekolah berumur 3 & 4 tahun
  2. Murid (Sekolah Rendah) yang Ketinggalan
  3. Murid (Sekolah Rendah) yang Berbakat
  4. Pelajar (Sekolah Menengah) yang Berpotensi
  5. Pelajar (Sekolah Menengah) yang Memerlukan Bimbingan

BELIA

  1. Pemimpin Belia
  2. Belia yang Berpotensi
  3. Belia yang Memerlukan Bimbingan

RAKAN KONGSI

  1. Pemimpin dan Individu Prihatin
  2. Kumpulan Rakan Kongsi
  3. Sekolah Majlis Islam Sarawak

Secara ringkasnya, BPP-MIS bertanggungjawab kepada pemerkasaan dan bina upaya semua kumpulan sasar di atas melalui pelbagai inisiatif pendidikan, dengan harapan agar umat Islam di Sarawak lebih berdaya saing dan maju dalam semua bidang yang diceburi.

“Menjana Kecemerlangan Ummah melalui Pendidikan”

 

Visi dan Misi || Fungsi Agensi || Carta Agensi || Carta Organisasi || Jawatankuasa Penasihat || Senarai Staf || Penyelaras Aktiviti || Pusat Kegiatan

Leave a comment

Your email address will not be published.