Tanggungjawab Pengurus Taska Masjid


Tanggungjawab Pengurus Taska Masjid

 

Pendaftaran dan Pembaharuan lesen Taska Masjid

Pertamanya, wakil JK Pengurusan Masjid / Surau / Lembaga Kebajikan sebagai pengurus taska masjid bertanggungjawab untuk membuat pendaftaran dan mendapat permit untuk menjalankan taska masjid dengan agensi-agensi yang berkaitan.

Kebajikan, Latihan dan Disiplin Pengasuh

Seterusnya, pencalonan serta temuduga pengasuh baharu perlu dilakukan dan kebajikan mereka perlu dijaga setelah secara rasmi dilantik (dengan menyediakan Surat Lantikan / Tawaran Kerja). Disiplin kerja dan pembayaran elaun bulanan pengasuh (melalui bantuan bulanan BPP-MIS yang dimasukkan dua bulan sekali) juga menjadi tanggungjawab utama dalam memastikan operasi taska masjid berjalan dengan lancar. Sebarang masalah yang timbul hendaklah diatasi dengan segera dan berhikmah serta sebaik-baiknya diselesaikan secara dalaman tanpa membuka aib mana-mana pihak atau individu. Selain itu, jika berlaku pertukaran pengasuh, pihak pengurusan perlu memastikan pengasuh baharu juga menjalani temuduga dan mempunyai tahap kesihatan dan kelayakan minima yang ditetapkan. Mereka perlu menjalani latihan dan lulus Kursus Asuhan PERMATA (KAP) bagi melayakkan diri sebagai pengasuh taska. Secara ringkas, pengurus taska masjid adalah penyelia kepada para pengasuh.

Penetapan Yuran, Pengiklanan dan Enrolmen Taska

Pengurus taska masjid boleh menetapkan kadar yuran bulanan bagi setiap kanak-kanak sama ada tetap (minima RM15) atau mengikut jumlah pendapatan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak (sebagaimana yang diamalkan oleh Taska HIKMAH). Jika ramai yang memohon untuk masuk ke Taska, pengurus taska bertanggungjawab mendahulukan mereka yang kurang berkemampuan dan tidak mengamalkan konsep “first come, first serve”. Oleh sebab itu, borang pendaftaran perlu disediakan dan pengiklanan tarikh tutup permohonan kemasukan (enrolmen) taska perlu dibuat sebelum tahun berikutnya. Permohonan pada tahun semasa hanya dibenarkan jika masih terdapat kekosongan berdasar keluasan taska dan bilangan pengasuh.

Kelangsungan Program Taska Masjid

Selain itu, JK Pengurusan juga perlu berusaha untuk menyakinkan mana-mana ahli JK Pengurusan baharu untuk meneruskan program taska masjid ini yang telah termaktub dalam bidang Pendidikan Pelan Tindakan MIS 2011-2020. Sebaik-baiknya, JK Pengurusan Masjid yang mempunyai dana yang kukuh atau ibu bapa yang mampu juga boleh berusaha untuk berdikari dalam urusan pengurusan taska secara keseluruhan. Dengan itu, BPP-MIS akan dapat membantu lebih banyak penubuhan taska masjid di kawasan-kawasan lain yang lebih memerlukan. Sebagaimana pihak swasta, taska masjid juga boleh beroperasi secara sendiri tanpa dana luar jika mempunyai diurus dengan baik tetapi haruslah tidak berorientasikan keuntungan dan lebih mengutamakan perkembangan serta kebajikan kanak-kanak termasuk para pengasuh atau pekerja yang terlibat.

 

Tanggungjawab BPP-MIS

BPP-MIS membantu JK Pengurusan Masjid / Surau / Lembaga Kebajikan untuk membangun, menambahbaik pengurusan dan kualiti pengasuhan taska masjid melalui lapan (8) aktiviti berikut:

  1. Pengurusan Taska Eksperimental BPP-MIS
  2. Pengurusan Pusat Sumber Pendidikan Awal Kanak-Kanak
  3. Penambahbaikan Pengurusan Taska Masjid
  4. Pengurusan Kebajikan Kanak-Kanak Taska Masjid
  5. Pembekalan Bahan Asuhan Taska Masjid
  6. Pensijilan Pengasuh Taska Masjid
  7. Penubuhan Taska Masjid
  8. Penyeliaan Taska Masjid

Secara ringkas, bantuan BPP-MIS adalah dalam bentuk:

  • Geran penubuhan taska,
  • Bantuan tahunan untuk kebajikan kanak-kanak,
  • Bantuan tahunan untuk pembelian bahan asuhan,
  • Elaun bulanan pengasuh,
  • Khidmat nasihat profesional, dan
  • Latihan tahunan serta pentauliahan pengasuh.

Bagi memastikan pengasuh taska masjid latihan dan pendedahan yang sewajarnya setiap tahun, BPP-MIS bekerja rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dalam penganjuran Konvensyen Pendidikan Prasekolah dan Randau Pengasuhan Kanak-Kanak sejak tahun 2008. BPP-MIS juga membantu Persatuan 3PAKS dalam penganjuran Kursus Asas Pengasuhan di Kuching bagi tujuan latihan intensif dan pentauliahan pengasuh taska masjid. Kedua-dua usaha ini diharap akan dapat meningkatkan ilmu serta kualiti pengasuhan pengasuh-pengasuh di taska masjid secara berterusan. 

BPP-MIS juga bertanggungjawab menyelia taska-taska masjid sedia ada dari masa ke masa. Selain itu, BPP-MIS perlu mengenal pasti kawasan-kawasan muslim yang kurang peluang pendidikan awal kanak-kanak di negeri Sarawak, seterusnya mengadakan perbincangan dengan JK Pengurusan Masjid setempat ke arah penubuhan taska masjid baharu.

Selain itu, bagi pihak Majlis Islam Sarawak, BPP-MIS juga membantu membina satu nota perjanjian persefahaman (MoA) dengan pihak kerajaan melalui KKLW dan KEMAS sejak tahun 2014 untuk mengambilalih pengurusan di 13 buah taska masjid secara rasmi pada tahun 2017. Kesemua taska masjid lain juga akan diusahakan untuk dijadikan Taska KEMAS Masjid pada masa akan datang jika belum mampu untuk berdikari.