Membangun Ummah Gemilang


oleh Adi Badiozaman Tuah  @ 11 Safar 1429H / 18 Februari 2008

Bangsa yang ingin kita bangunkan ini

Menyusun semula batu-bata keyakinan diri

Setelah sekian lama berkecai di gurun kealpaan

Menganyam semula tiang-tiang iman dan takwa

Setelah berabad terpenjara jasad dan akal mindanya

Terperangkap rohani dan jasmani di lembah kejahilan

Perlu melakar semula cita-cita dan merangka gagasan tinggi

Perlu mempelajari semula khazanah ilmu daripada tamadun besar dunia

Perlu membaca dan memahami semula makna setiap sabda para Nabi

Perlu menghayati kembali setiap kalimah dan wahyu suci ilahi

 

Bangsa yang ingin kita bangunkan semula ini

Biarlah jangan diukur kerana keindahan mimpi-mimpi yang mengasyikkan

Biarlah jangan disanjung kerana kehebatan janji-janji manis yang melemaskan

Biarlah jangan diteladani kerana kecemerlangan budaya hibur yang melalaikan

 

Kita perlu bangunkan semula bangsa ini

Bertapak keinsafan akan makna tanggungjawab peribadi kepada Pencipta

Berasaskan kesedaran akan maksud keimanan dan takwa yang suci

Bertunjangkan kefahaman akan erti pengabdian mutlak kepada Ilahi

Berpaksikan penghayatan akan tuntutan amanah kekhalifahan yang diberi

Berfokuskan pembinaan perabadan yang tinggi

Mengutamakan kesejahteraan hidup bermasyarakat yang berbudi

 

Kita perlu bangunkan semula bangsa ini

Bersandarkan ilmu pengetahuan dan negaranya

Individu yang bertanggungjawab dan berilmu pengetahuan

Individu yang berketerampilan, berakhlak mulia dan prihatin

Individu yang bervisi jauh, berperikemanusiaan dan cintakan keamanan

Kita perlu bangunkan semula bangsa ini

Masyarakat yang madani, masyarakat hadhari, masyarakat bermaruah

Masyarakat yang bersatu padu, masyarakat yang berintegriti tinggi

Masyarakat yang mengutamakan perpaduan dan keharmonian

Kita perlu bangunkan semula bangsa ini

Negara yang berdaulat dan merdeka

Negara yang berdiri gagah di pentas dunia

Negara yang mencintai keamanan dan kedamaian sejagat

 

Kita bangunkan semula bangsa ini secara seimbang

Tidak hanya mengamalkan ritual keagamaan

Kita utamakan juga pembangunan kerohanian menyeluruh

Ekonomi utuh, pendidikan bersepadu, masyarakat maju, undang-undang berdaulat, perlembagaan luhur, negara makmur

Kita ubah minda, cara berfikir dan berpandangan global

Kita takrif hidup sebagai pengabdian kepada Tuhan

Kerja sebagai ibadah dan manusia sebagai khalifah

Kita jaga, kita pelihara, kita perkasa dan kita tingkatkan martabat

Agama, akal, nyawa, harta, keturunan, maruah, keluarga dan alam semesta

 

Demikianlah sesungguhnya,

Sekiranya bangsa kita beriman dan bertakwa,

Allah akan membuka seluas-luasnya pintu pengurniaan

Akan melimpah-limpahlah berkatnya, dari langit dan bumi

Demikianlah sesungguhnya dalam membangunkan bangsa ini

Kita perlu berlaku adil kepada semua dan amanah sentiasa

Kerana sikap adil lebih hampir kepada takwa

Dan tidak beriman seseorang yang tidak amanah

Demikianlah dalam membangunkan semula bangsa ini

Rakyat hendaklah berjiwa merdeka, berfikiran terbuka, dinamik, kreatif dan inovatif

Keluar dari minda yang terpenjara dan pemikiran yang terjajah

Demikianlah dalam membangunkan bangsa

Kita kuasai ilmu pengetahuan dan kemahiran

Kita bangunkan ekonomi secara seimbang dan komprehensif

Kita gerakkan aktiviti ekonomi di kota dan desa dan libatkan semua

Kita perluaskan kegiatan dalam negara dan peringkat antarabangsa

 

Demikianlah dalam membangunkan semula bangsa ini

Kita tuntut kekayaan dan kesejahteraan dunia yang telah Allah kurniakan

Kita tuai pahala dan kebahagiaan hari akhirat yang telah dijanjikan

Lewat amal ibadah, berbuat baik sesama manusia dan menjaga alam semesta

Demikianlah pembangunan bangsa yang sudah lama tertekan ini

Kita bela hak wanita dan kumpulan minoriti yang terpedaya

Kita kembalikan kepada mereka hak asasi dan harga diri

Kita angkat semula martabat nilai nyawa dan kehormatan

Demikianlah pembangunan semula bangsa gemilang

 

Kita perkukuhkan ketamadunan bangsa dan negara

Kita pupuk nilai budaya yang utuh dan akhlak budi yang mulia

Kita pelihara keharmonian dan kelestarian hidup dengan alam semesta

Kita perkukuh kekuatan diri dan kestabilan serta keselamatan negara

Demikianlah pembangunan bangsa yang gemilang

Kita perlu terus berkeupayaan menjaga kemerdekaan

Kita perlu terus berkemampuan membela kemuliaan maruah diri

Kita perlu terus beriltizam membangun masyarakat, bangsa dan negara