Salam Ramadan Al-Mubarak 1438H


Ramadan menjelma lagi dan bersyukurlah kita diberi kesempatan untuk menunaikan fardu puasa yang wajib ke atas orang yang beriman sebagaimana dilakukan oleh umat-umat terdahulu. BPP-MIS telah melalui 10 kali Ramadan sepanjang penubuhannya dan seperti biasa akan mengambil peluang untuk menyiapkan perancangan dan anggaran peruntukan yang diperlukan untuk tahun berikutnya pada bulan ini, di samping laporan pelaksanaan aktiviti pada tahun sebelumnya.

Merujuk kepada ayat Quran yang diperkongsikan, puasa menuntut kesabaran dan sesungguhnya kesabaran itu sebahagian daripada iman. Puasa adalah Rukun Islam Ketiga dan dilakukan untuk manfaat manusia itu sendiri. Mereka yang berpuasa bukan sahaja melatih diri untuk sabar dalam menahan diri daripada perkara-perkara yang membatal puasa dan mengurangkan pahalanya, tetapi juga merehatkan organ penghadaman daripada bekerja keras sepanjang tahun dalam menjaga kesihatan. Ini dilakukan dengan mengikuti contoh mereka yang menyeru kepada tuhan dan mengharapkan keredhaan-Nya.

Namun pada akhir zaman ini, kebanyakan orang menerima bulan Ramadan sebagai sinonim dengan bazar ramadan dan permulaan persediaan menyambut hari raya sahaja kerana mengharapkan perhiasan dunia dan terikut-ikut dengan mereka yang lalai. Semangat ini berbeza daripada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat yang menantikan bulan Ramadan sejak enam (6) bulan terdahulu dan menjadikan bulan ini untuk memperbanyakkan ibadah serta mendekati Allah SWT dalam merebut pelbagai gandaan ganjaran yang disediakan. Untuk mengikuti jejak golongan yang diberikan rahmat serta kejayaan di dunia dan akhirat, kita perlu bersabar dan mencari keikhlasan diri dalam mendekati tuhan dengan bersama jemaah terutama di masjid / surau yang terdekat.

Sebagaimana disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, rugi dan hina mereka yang tidak memanfaatkan bulan ini kerana pahala, kesabaran dan disiplin yang diperoleh dengan berpuasa akan membuka pintu rezeki di dunia dan salah satu pintu syurga iaitu Ar-Rayan untuk mereka di akhirat kelak. Janganlah kita termasuk dalam golongan mereka yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Natijahnya, marilah belajar untuk melaksanakan puasa pada tahun ini dengan sebaik-baiknya, di samping merebut ganjaran terutama pada setiap malam pada bulan ini dengan solat terawih dan tadarus al-Quran agar kita berpeluang untuk mendapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar.

Leave a comment

Your email address will not be published.