Laporan Kembara Hijrah Samarahan 1435H / 2014 M

PENGENALAN

Penghayatan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW yang berteraskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, perlu disemai dalam jiwa setiap belia, agar mereka memahami pengorbanan dan perjuangan Rasulullah dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam. Selain itu, melalui penghayatan makna hijrah, belia akan memahami pentingnya persaudaraan dan perpaduan dalam hidup bermasyarakat.

Aktiviti Kembara Hijrah memberi peluang kepada para belia dalam lingkungan umur 16 hingga 24 tahun untuk bukan sahaja memahami makna Hijrah Rasulullah SAW, tetapi juga signifikannya dalam konteks penghijrahan masa kini. Di samping itu, aktiviti ini juga menyediakan ruang kepada mereka untuk mengenali dan memahami persekitaran sosiobudaya setempat, serta menghargai betapa pentingnya semangat persaudaraan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat Islam. Secara khususnya, objektif Kembara Hijrah adalah untuk:

  • Meningkatkan kefahaman dan penghayatan makna hijrah.
  • Meningkatkan kefahaman tentang persekitaran sosiobudaya masyarakat setempat.
  • Mengeratkan jalinan silaturrahim antara sesama peserta dan dengan masyarakat setempat.
  • Meningkatkan penglibatan belia dalam aktiviti pengimarahan masjid.

Kembara Hijrah merupakan aktiviti tahunan yang dikelolakan oleh BPP-MIS dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid serta agensi berkenaan, sebagai sebahagian daripada aktiviti sambutan tahun baru bagi belia Islam. Pada tahun 2014, Bahagian Samarahan telah dipilih sebagai tuan rumah bagi pengelolaan aktiviti ini. Ini merupakan kali kelima aktiviti ini diadakan. Pada asalnya aktiviti Kembara Hijrah ini diadakan dalam bentuk pengembaraan dengan bas dari Kuching ke Miri (tahun 2010). Mulai tahun 2011 aktiviti ini telah diadakan secara berpusat di Bahagian Mukah, Bintulu (2012) dan Saratok (2013).

Aktiviti Kembara Hijrah Samarahan 1435H / 2014 melibatkan penyertaan 15 buah masjid di Daerah Samarahan dan Asajaya dengan penyertaan sejumlah 327 orang peserta dan 47 orang Pengiring Peserta serta 47 orang Fasilitator. Kebanyakan peserta (296 orang) adalah terdiri daripada golongan belia yang berumur 13 – 19 tahun, 18 orang peserta berumur 20 – 31 tahun dan 13 orang peserta berumur 9 – 12 tahun.

Fasa Pertama Kembara Hijrah ini bermula dengan Kem Suai Kenal dan Taklimat Fasilitator serta Ketua Pengiring Peserta yang diadakan pada 13 dan 14 September 2014 di SMK Hjh Laila Taib (SMK Asajaya 2) Asajaya. Fasa Kedua (Aktiviti Perkampungan Setempat) yang bermula pada 14 hingga 16 September diadakan di lima belas buah masjid berikut:

  1. Masjid Darul Naim, Kampung Moyan Laut (20 peserta, 2 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  2. Masjid Darul Iman, Kampung Sadong Jaya (45 peserta, 5 Pengiring Peserta dan 4 Fasilitator)
  3. Masjid Darul Naim, Kampung Sg. Mata (21 peserta, 4 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  4. Masjid Darul Naim, Kampung Baru (22 peserta, 3 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  5. Masjid Darul Salam, Kampung Tg. Bundong (21 peserta, 2 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  6. Masjid Darul Hana, Kampung Endap (20 peserta, 3 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  7. Masjid Ali Fatimah, Kampung Mang (28 peserta, 4 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  8. Masjid Darul Islam Syukur Bersatu, Kampung Melayu (20 peserta, 3 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  9. Masjid Darul Taqwa, Kampung Muara Tuang (17 peserta, 3 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  10. Masjid Darul Islam Wal Muslimin, Kampung Niup (18 peserta, 5 Pengiring Peserta dan 4 Fasilitator)
  11. Masjid Darul Ibadah, Kampung Meranek (20 peserta, 3 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  12. Masjid Darul Ehsan, Kampung Tg. Apong (18 peserta, 3 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  13. Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila (17 peserta, 2 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  14. Masjid Darul Ikhlas, Kampung Sindang Baru (20 peserta, 3 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)
  15. Masjid Darul Jalil, Kampung Rebak (20 peserta, 2 Pengiring Peserta dan 3 Fasilitator)

Selepas selesai Fasa Kedua (Aktiviti Perkampungan Setempat), peserta dibawa berhijrah ke SMK Hjh Laila Taib, Asajaya untuk aktiviti Fasa Ketiga (Aktiiviti Perkampungan Berpusat) mulai 16 hingga 20 September 2014.

Aktiviti Kembara Hijrah ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kefahaman peserta mengenai makna dan signifikan hijrah (zaman Rasulullah dan masa kini);memantapkan jati diri belia Islam dalam konteks menghadapi dan menangani cabaran semasa; meningkatkan semangat kepedulian sosial dan keinginan untuk menabur bakti; serta meningkatkan ukhwah dan semangat kekitaan dalam kalangan sesama belia dan dengan masjid dan masyarakat.

Di samping tujuan yang tersurat tersebut, Kembara Hijrah ini juga berhasrat untuk meningkatkan keakraban antara belia dengan JKP Masjid; meningkatkan kerjasama antara tenaga muda dengan generasi tua; meningkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pelbagai aktiviti kampung dan masjid serta meningkatkan penyertaan belia dalam membuat keputusan di kampung masing-masing.

PENGISIAN

Kembara Hijrah Samarahan diisi dengan empat aktiviti utama:

  • Aktiviti perasa dan jati diri
  • Bengkel dan ADK
  • Tazkirah dan ceramah
  • Khidmat masyarakat dan kongsi budaya.

 

Aktiviti Perasa dan Jati Diri

Aktiviti perasa dan jati diri yang diadakan di 15 buah perkampungan setempat dan di Pusat Perkampungan SMK Hjh Laila Taib adalah bertujuan untuk membentuk semangat setia kawan dan kepedulian sosial, mengenal dan mengurus diri, membina rasa yakin diri dan penampilan ceria, memantapkan jati diri, mengawal desakan hati dan mengawal emosi serta memupuk daya fikir positif dan daya saing dalam kalangan peserta-peserta Kembara Hijrah Samarahan.

 

Bengkel dan ADK

Semasa di Pusat Perkampungan Setempat, peserta-peserta Kembara Hijrah telah dibimbing oleh Fasilitator masing-masing berbengkel membincangkan isu-isu belia setempat yang merangkumi aspek berikut :

  • Mengenalpasti isu-isu sosial setempat
  • Mengenalpasti punca masalah
  • Membincangkan tindakan penyelesaian semasa
  • Mencadangkan tindakan penyelesaian baru

Di samping itu, peserta-peserta Kembara Hijrah juga diajak menggali sejarah serta mencatat profil kampung dan masjid masing-masing. Aktiviti ini memerlukan peserta bersemuka dengan JKP Masjid dan Ketua Masyarakat di kampung masing-masing untuk mendapat maklumat tentang sejarah kampung dan masjid mereka.

 

Tazkirah dan Ceramah

Setiap waktu selepas sembahyang Subuh dan antara Maghrib dan Isya diadakan tazkirah untuk mengupas tajuk-tajuk seperti berikut:

  • Kepentingan Berbakti Kepada Masyarakat oleh Ustaz Majidi bin Bujang (JAIS Samarahan)
  • Kepentingan Niat Dalam Kehidupan oleh Ustaz Kanil bin Ali Hassan (SMK Agama Saratok)
  • Belia Pencorak Masa Depan Negara oleh Ustaz Ghaiazara bin Hj. Mohd Ali (SMK Agama Sibu)
  • Ukhwah dan Kasih Sayang oleh Ustaz Ghaiazara bin Hj. Mohd Ali (SMK Agama Sibu)
  • Kepentingan Ilmu Dalam Kehidupan oleh Ustaz Abdul Taib bin Bujang Narawi (JAIS Samarahan)
  • Rasulullah SAW Uswatun Hasanah oleh Ustaz Sadri bin Saini (SK Moyan, Asajaya)
  • Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dan Belia Islam oleh Ustaz Hj. Alsagap bin Hj. Beli (JAIS Samarahan)
  • Jati Diri Belia Islam oleh Abd. Hafiz bin Abd Hadi (SMK Hjh Laila Taib)

Selain santapan kerohanian, peserta-peserta Kembara Hijrah juga dibekalkan dengan maklumat tentang peluang-peluang melanjut pelajaran dan mendapat latihan kemahiran tertentu serta bantuan kewangan pengajian melalui ceramah-ceramah berikut:

  • Prestasi Akademik Pelajar Islam Daerah Samarahan oleh Ustaz Yazid bin Razali, wakil PPD Samarahan
  • SCORE & Peluang Pekerjaan oleh Encik Mohd Irwan Bahari Bujang wakil dari SPU, JKM
  • Peluang Pengajian Akademik di UiTM oleh Cik Umi Aminah binti Zamhari wakil dari UiTM Cawangan Samaharah 1.
  • Peluang Pengajian Akademik di Politeknik oleh Encik Abdullah Latif bin Mustapha wakil dari Politeknik Kuching.
  • Peluang Latihan Kemahiran di PPKS oleh Encik Awang Mohamad Hasrekim bin Awang Yusof wakil dari PPKS, Kuching.
  • Peluang Latihan Kemahiran di Pusat Giat MARA oleh Encik Mohammad Faizul bin Osman wakil dari MARA, Serian.
  • Bantuan Kewangan Pengajian oleh Encik Mohd Fikri bin Mohamad wakil dari Yayasan Sarawak.

 

Khidmat Masyarakat dan Kongsi Budaya.

Meskipun jadual aktiviti Kembara Hijrah Samarahan agak penuh dan padat, kebanyakan peserta masih sempat meluangkan masa melakukan kerja-kerja amal seperti membantu warga emas (Nenek Becek bt. Gapar) yang tinggal seorang diri di Kampung Moyan Laut dan membersih kawasan masjid.

Di samping itu, mereka juga berkesempatan mengasah bakat dalam pelbagai  kegiatan kesenian dan kebudayaan seperti berqasidah, bersajak, menyampaikan lagu nasyid dan lagu rakyat, bicara berirama dan sebagainya.

                                                    

RUMUSAN DAN DAPATAN

Kembara Hijrah Samarahan telah berjaya dikelolakan  dalam  tiga fasa mengikut perancangan awal aktiviti tersebut dengan penyertaan dan komitmen tinggi dari setiap peserta, Ketua Pengiring dan Pengiring Peserta, Fasilitator serta semua Ahli Jawatankuasa Pengelola Kembara Hijrah Samarahan 1435H / 2014H.

 

Fasa 1: Kem Suai Kenal dan Taklimat Fasilitator

Sejumlah 47 orang Fasilitator dan 47 orang Pengiring Peserta telah diberi taklimat dan latihan ringkas tentang pengelolaan aktiviti untuk 15 buah Pusat Perkampungan Setempat.  Mereka telah dapat memahami secara mendalam dan menjiwai hasrat sebenar tujuan pengelolaan Kembara Hijrah Samarahan melalui sesi:

  • Taklimat Umum Kembara Hijrah & Tanggungjawab Fasilitator oleh Kem Komandan;
  • Taklimat Aktiviti Khusus Kembara Hijrah & Pengenalan Modul Setempat oleh Cik Shamsiah Hj. Mahli dan Cik Aminah Ismail;
  • Perbincangan tentang pengelolaan aktiviti di Pusat Perkampungan Setempat antara Fasilitator dan Pengiring Peserta.
  • Aktiviti Bina Semangat kelolaan Tuan Haji Jamil bin Hj. Alop dan Encik Zamhari bin Hj. Mostapha.

Amanat serta acara flag off Fasilitator bersama Pengiring Peserta untuk berlepas ke Pusat Perkampungan Setempat oleh YBhg Pengarah BPP-MIS, Datu Dr Hj Adi Badiozaman Tuah telah menyemarakkan lagi semangat para Fasilitator dan Pengiring Peserta untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menjayakan aktiviti di Pusat Perkampungan Setempat.

Fasa 2: Aktiviti Perkampungan Setempat di 15 buah Masjid

Aktiviti Perkampungan Setempat telah memupuk semangat kerjasama antara peserta (golongan belia tempatan) dengan JKP Masjid dan Ketua Masyarakat di 15 buah masjid Daerah Asajaya dan Kota Samarahan. Pengetahuan peserta tentang makna Hijrah telah ditingkatkan lagi melalui majlis ilmu dan tayangan video “Mengenali dan Mencontohi Rasulullah SAW.

Melalui aktiviti  Mengenali Profil Kampung dan Masjid, peserta mula merasa lebih sayang dan cinta akan kampung masing-masing dan berhasrat untuk mencontohi ikon-ikon ternama dari kampung masing-masing.

Aktiviti Perbincangan Isu Belia Setempat telah menyedarkan  peserta  tentang masalah yang dihadapi oleh belia-belia setempat. Dalam aktiviti ini peserta-peserta telah mengupas isu-isu sosial setempat, mengenalpasti punca masalah, dan membincangkan tindakan penyelesaian semasa, serta mencadangkan tindakan penyelesaian baru. Isu yang dibincang hampir serupa antara satu Pusat Perkampungan Setempat dengan yang lain yang kebanyakannya berkisar kepada masalah seperti merokok, minum arak hingga mabuk, berjudi, mencuri, pergaulan bebas hingga melahir anak luar nikah, makan pil khayal, menghidu gam, vendalisme dan melepak.

Kebanyakan wakil peserta melaporkan bahawa masalah di atas berpunca daripada kurang pengetahuan agama, kurang minat terhadap aktiviti kampung, pengaruh rakan sebaya, kurang perhatian dan kawalan daripada ibu bapa, ibu bapa tidak mengambil tahu sangat tentang aktiviti anak-anak, kurang sokongan ibu bapa, kurang yakin diri, masalah keluarga, keinginan mencuba perkara baru, dahagakan keseronokan dan pengaruh media massa.

Untuk mengurangkan masalah di atas peserta mencadangkan agar diadakan kem jati diri, kem motivasi, kem kembara hijrah, ibu bapa beri lebih perhatian serta nasihatkan anak-anak dengan cara yang baik., terapkan nilai-nilai murni dan ajaran agama dalam aktiviti rutin belia-belia yang bermasalah.

Fasa 3: Aktiviti Perkampungan Berpusat SMK Hjh Laila Taib

Kebanyakan peserta dan Pengiring Peserta bersemangat untuk berhijrah dari Pusat Perkampungan Setempat ke Perkampungan Berpusat di SMK Hjh Laila Taib.  Semua Pengiring, Fasilitator dan peserta dari Masjid Kampung Baru, Kampung Tg. Bundong, Kampung Muara Tuang, Kampung Sindang Baru, Kampung Meranek, Kampung Endap, Kampung Mang, Kampung Niup, Kampung Empila, Kampung Melayu telah berkonvoi menuju ke SMK Hjh Laila Taib pada jam 2.00 petang, 16 September 2014 (Selasa).  Mereka telah melibatkan diri secara aktif dalam semua aktiviti yang dikelolakan di sekolah tersebut.  Aktiviti yang dikelolakan di peringkat Perkampungan Setempat telah dapat dibentang dan dipersembahkan dengan kualiti yang sangat memuaskan. Tujuh di antara 15 persembahan kebudayaan dan kesenian tempatan telah disampaikan semula pada malam penutupan rasmi Kembara Hijrah Samarahan yang disempurnakan oleh YB Datuk Hj Abang Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perumahan Sarawak dan Menteri Muda Pembangunan Belia Sarawak pada 19 September 2014 (Jumaat).

Kembara Hijrah Samarahan menampakkan kesan dan impak berikut:

  • Kumpulan peserta belia dan JKP Masjid dan Ketua Masyarakat mula memupuk semangat untuk bekerjasama demi untuk kebaikan masyarakat kampung masing-masing.
  • Beberapa kumpulan JKP Masjid telah menunjuk minat untuk melanjutkan lagi aktiviti Kembara Hijrah dengan kumpulan belia lain di kampung masing-masing. Ada yang telah menghubungi Fasilitator memohon agar membantu mereka mengelolakan aktiviti lanjutan tersebut.
  • Beberapa orang Fasilitator juga menunjuk minat yang sama untuk mengelolakan aktiviti Kembara Hijrah di tempat masing-masing nanti.
  • Empat JKP Masjid telah menyatakan minat untuk menubuh TASKA Masjid.

Kembara Hijrah Samarahan telah dapat dikelolakan dengan jayanya kerana adanya sokongan dan penyertaan yang positif daripada Ketua Masyarakat dan JKP Masjid dalam pengelolaan aktiviti ini. Penyertaan belia-belia kampung dalam aktiviti ini adalah hasil usaha Ketua Masyarakat dan JKP Masjid  yang mencanangkan pengelolaan aktiviti ini di Daerah Kota Samarahan dan Asajaya pada awal tahun 2014 dulu. Di samping penglibatan Ketua Masyarakat dan JKP Masjid, Kembara Hijrah Samarahan berjaya dikelolakan seperti yang dirancang kerana adanya komitmen yang tinggi serta sokongan padu para Fasilitator yang membimbing peserta melaksanakan aktiviti semasa di Pusat Perkampungan Setempat hasil daripada Kursus Fasilitator dan Taklimat Fasilitator yang dilaksanakan sebelum mereka dilepaskan ke Pusat Perkampungan Setempat di lima belas buah masjid Daerah Kota Samarahan dan Asajaya. Kebanyakan peserta menyatakan bahawa mereka ingin ikut serta dalam aktiviti Kembara Hijrah jika diadakan semula.

 

Leave a Reply